27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Penjara main peranan penting merubah penghuni tirai besi: Jahid Jahim

TERIMA KASIH …. Dexter (kiri) membuat simbolik penyerahan bun kepada Hjh Nora (kanan) sambil disaksikan oleh Jahid (tengah).

KOTA KINABALU: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memelihara penghuni tirai besi penjara yang memerlukan perhatian khusus dan menyediakan program bermanfaat kepada mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, penjara memainkan peranan lebih besar merubah penghuninya kerana ia bukan hanya berfungsi sebagai penjara semata-mata.

“Sedar atau tidak, penjara sebenarnya telah banyak berubah peranannya terutama dalam memulihkan penghuni dalam tirai besi itu, untuk menjadi lebih berguna kepada bangsa dan negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Program Penyerahan Sumbangan Bun oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) dengan kerjasama Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad di Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah & W.P Labuan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat KTC Consolidated Berhad, Dexter Lau, Pengarah Penjara Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan, Timbalan Komisioner Penjara Hjh Nora Musa, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah & W.P Labuan Penolong Kanan Komisioner Penjara Rosman Norman, Penolong Kanan Komisioner Penjara Teyun Thiam Eim( Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu) Penolong Komisioner Penjara Kesumawati binti Ilas( Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu) dan para Pegawai serta kakitangan Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah & W.P Labuan.

JAHID Dipelawa meninjau sekitar bangunan Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sabah oleh TKP Hjh Nora binti Musa dan beberapa pegawai kanan di Jabatan tersebut.

Katanya, pelbagai latihan dan kemahiran kini disediakan kepada penghuni penjara sebelum mereka dibebaskan untuk kembali bersama masyarakat.

“Malah, kini terdapat penghuni penjara yang terdiri daripada golongan bijak pandai mempunyai kelulusan tinggi dalam akademik sehingga di peringkat PhD dan dalam masa yang sama mereka juga diberi kemahiran didalam Penjara melalui pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia,” ujar beliau.

Justeru, katanya, bagi pihak kerajaan Negeri Sabah, berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana telah banyak membantu dalam membentuk sahsiah dan peribadi penghuni tirai besi itu agar menjadi lebih baik, dan menerima pemulihan kendiri sehingga bersedia kembali ke pangkuan masyarakat.

“Apalah sangat nilai bantuan ini jika dibandingkan dengan pengorbanan Jabatan Penjara Malaysia kepada msyarakat, terutamanya melaksanakan tugas-tugas pemulihan di sini,”.

“Dengan sumbangan ini sekurang-kurangnya kita mengiktiraf peranan jabatan penjara bukan saja dalam mendepani risiko tinggi dalam mengurus penghuni penjara tetapi juga memberi semangat kepada mereka untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” tambah Jahid, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

Terdahulu, Dexter memberitahu, program hari ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bersama KPLBS dalam usaha membantu dan menghargai, serta mengiktiraf sumbangan golongan barisan hadapan kepada masyarakat.

Pada program tersebut, sebanyak 10,000 bun telah disumbangkan kepada Jabatan Penjara Malaysia melalui Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah & W.P Labuan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN