28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Penjagaan kesihatan di kalangan warga emas penting: Abidin

Abidin (tengah) dan lain-lain ketika melawat pameran kesihatan dalam acara tersebut


RANAU: Penjagaan kesihatan di kalangan warga emas penting kerana umur panjang tidak bermakna jika dihabiskankan dalam keadaan sakit, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.


Bagi tujuan itu, katanya, setiap orang perlu mengutamakan kesihatan mereka terutama ketika mereka masih muda dan tidak perlu menunggu sampai usia tua kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.


“Hidup adalah anugerah Tuhan, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kehidupan yang diberikan kepada kita dihargai dengan menjaga kesihatan kita. Umur hanyalah angka, dan yang paling penting ialah hidup bahagia dan sihat.


“Selaras dengan seruan pihak berkenaan, penjagaan kesihatan mesti dimulakan semasa masih kanak-kanak. Jika semua orang mengamalkan perkara ini, tidak hairanlah ramai yang akan mencapai usia 100 tahun,” katanya.


Tambahnya lagi, pada zaman ini terdapat begitu ramai golongan muda yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi, dan ini mesti dibendung.


Namun begitu, beliau berkata penjagaan kesihatan di kalangan warga emas juga penting kerana jika tidak menjaga kesihatan ketika tua, maka banyak penyakit boleh timbul daripada cara hidup yang tidak terkawal.


“Sebab itu kita perlu mengamalkan cara hidup sihat yang merangkumi senaman dan aktiviti fizikal, jauhi minda negatif, makan makanan sihat, dan kerap senyum dan ketawa,” katanya.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cakna Kesihatan Warga Emas yang diadakan di Mini Dewan Guntab Kg Bongkud Ranau pada Sabtu.


Antara aktiviti yang diadakan pada majlis anjuran Klinik Kesihatan Lohan dan Ahli Panel Penasihat itu ialah senamrobik, sukan, ceramah kesihatan, pameran kesihatan, cabutan tiket bertuah, derma darah, pemeriksaan gigi dan lain-lain.


Sementara itu Abidin memuji inisiatif dan usaha yang ditunjukkan oleh Klinik Kesihatan Lohan dan Ahli Panel Penasihat dalam menjayakan penganjuran majlis tersebut yang mendapat perhatian ratusan penduduk kampung sekitar.


“Harapan kami agar majlis mulia ini mencapai objektifnya dan melahirkan ramai individu yang sihat khususnya warga emas, pada masa yang sama menyemai nilai penjagaan kesihatan yang berfaedah dalam kalangan penduduk.


“Saya juga berharap pihak penganjur dapat menganjurkan acara seumpama ini pada masa akan datang khususnya di sekitar kawasan DUN Paginatan agar lebih ramai lagi masyarakat dari segenap lapisan mendapat manfaat daripada program sebegini,” katanya.


Turut hadir Pengarah Kesihatan Ranau, Dr Wong Yoke Kong, Penasihat program, Dr Flecia Kundayis, Pengerusi Pengelola, Asidin Bin Sakunir, Pengerusi-pengerusi majlis, Dr Madwin Madari dan Halisah Marasin, Penyelaras acara, Dr Jewel Bollah, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN