32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pengukuhan Sukan Sepak Takraw

PARA peserta Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw merakam kenangan bersama barisan jurulatih.

LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan kerjasama Bahagian Sukan Kokurikulum Dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan  Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw Sekolah Rendah di Dewan Arena Bukit Kuda, baru-baru ini.

Pegawai BSKK, Badrol Nizam Hamzah berkata, pihak KPM telah melakukan ‘road show’ ke semua negeri bagi program pengukuhan sukan sepak takraw ini dan W.P.Labuan merupakan negeri terakhir dalam misi tersebut.

Beliau berkata, sekiranya murid mempunyai potensi untuk diketengahkan, mereka akan dibawa ke pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia.

Katanya, peluang yang sangat cerah untuk mereka menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam bidang Sains Sukan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada murid sekolah menonjolkan kebolehan dan bakat masing-masing.

“Ini adalah satu usaha menyeluruh untuk melihat dan memastikan potensi murid dapat dioptimumkan selain mengesan bakat sukan baharu,”katanya pada majlis penutupan program.

Sementara itu, Penyelaras Program, Aznan Abidin berkata, Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw ini membabitkan 5 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kerupang, SK Sungai Bedaun, SK Tanjung Aru, SK Pantai dan SK Bebuloh dengan penyertaan seramai 40 murid beserta jurulatih masing-masing.

Tambahnya, program ini telah dibimbing oleh tiga mentor daripada jurulatih sepak takraw negara iaitu Hasrul Abd Halim dan Azmi Abd Ghani dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar Johor dan Mohd Faisal Mohamad dari Sekolah Sukan Malaysia Terengganu.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Kamariah Salim.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bakat Murid, Samsul Mandisin, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Minggu Amat, jurulatih sepak takraw sekolah dan para peserta.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN