Dr. Joachim (lima dari kanan) dan yang lain bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Anggota Penguat kuasa PBS Sabah tahun 2024.
KOTA KINABALU, 8 November 2024: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menekankan perlunya semua penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengamalkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam menjalankan tugas mereka.
Beliau menyampaikan perkara ini semasa merasmikan penutupan Persidangan Penguat Kuasa PBT Sabah 2024, yang bertemakan “Transformasi Penguat Kuasa Pihak Berkuasa Tempatan Sabah: Berintegriti, Telus, dan Prihatin Ke Arah Mensejahterakan Rakyat” di Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.
Dr. Joachim menekankan bahawa penganjuran persidangan ini, yang pertama kali diadakan sejak penubuhan PBT Sabah, sangat penting bagi menyuntik semangat kepada semua penguat kuasa PBT di negeri ini.
“Perhatian harus diberikan terhadap kewujudan penguat kuasa PBT Sabah. Apabila masyarakat melihat penguat kuasa, yang seharusnya terlintas di fikiran mereka ialah pematuhan undang-undang dan peraturan. Kehadiran yang dirasai ini penting bagi memastikan penguat kuasa PBT Sabah dihormati dalam melaksanakan amanah mereka.
“Semua PBT harus berani dalam menjalankan tanggungjawab mereka tanpa menyalahgunakan kuasa, serta menanamkan sikap amanah, jujur dan integriti dalam setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau juga berharap persidangan tersebut dapat memberikan ilmu pengetahuan mendalam kepada penguat kuasa PBT Sabah, agar mereka melaksanakan tugas selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan hala tuju kementerian.
Menurut Dr. Joachim, persidangan ini merupakan satu usaha untuk memperbaharui penguatkuasaan PBT dari segi keberkesanan, kecekapan dan ketelusan, sejajar dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.
Beliau menegaskan bahawa pembaharuan yang diharapkan dalam kalangan penguat kuasa PBT Sabah termasuk aspek ketelusan dan akauntabiliti, penggunaan teknologi atau IT dalam pelaksanaan tugas, pendekatan berasaskan komuniti, peningkatan pengetahuan dan kredibiliti melalui latihan, serta penekanan terhadap prinsip pembangunan mampan.
“Pembaharuan ini penting untuk memastikan sistem penguatkuasaan yang relevan dan efektif dalam menangani cabaran-cabaran baharu yang dihadapi oleh masyarakat,” katanya.
Dr. Joachim berharap melalui persidangan ini, penguat kuasa PBT Sabah akan menjadi lebih yakin, berpengetahuan dan berketrampilan dengan mengamalkan nilai-nilai integriti dalam tugas mereka.
Seramai 122 pegawai penguat kuasa PBT Sabah menghadiri persidangan selama tiga hari ini.
Dr. Joachim turut mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais selaku Ketua Pentadbiran di peringkat Kementerian yang telah berjaya melaksanakan program ini.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri I dan II, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohd. Hamsan Awang Supain; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau yang juga pengerusi penganjur bersama dengan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Helmy Taib.