Datuk Flovia Ng
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas pengiktirafan yang diberikan kepada peranan wanita dalam memperkasa hala tuju pembangunan negeri.
Beliau berkata, penghargaan ini bukan sahaja menyuntik semangat, tetapi mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membina Sabah yang inklusif dan progresif dengan memberi tempat sewajarnya kepada wanita dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
“Kerajaan yang diterajui Hajiji, jelas menunjukkan komitmen untuk melibatkan wanita secara aktif dalam pelbagai sektor.
“Pendekatan ini wajar dipuji kerana ia memperkukuh asas kemajuan negeri melalui keseimbangan penyertaan antara lelaki dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Flova yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.44 Tulid, menyeru wanita Sabah agar menyambut baik sokongan berterusan Kerajaan Negeri.
“Gunakanlah peluang ini untuk memperkasa diri, membina potensi, dan melibatkan diri dalam bidang-bidang yang mampu memberi impak positif kepada sesama wanita dan komuniti
“Ingatlah bahawa wanita adalah tulang belakang kekuatan masyarakat, bukan sekadar pendukung, tetapi peneraju masa depan yang lebih sejahtera,” ujarnya.
Dalam masa sama, Flovia turut mengucapkan tahniah kepada barisan Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang telah dilantik pada 5 Mei lalu.
Beliau percaya, di bawah pimpinan Datuk Dr Hajjah Rosmawati Haji Lasuki, selaku pengerusi baharu, MPWS akan terus mantap sebagai platform penting dalam merangka dasar dan inisiatif yang memperjuangkan kesejahteraan wanita Sabah.
Terdahulu, Hajiji dalam ucapannya semasa majlis angkat sumpah ahli-ahli MPWS, baru-baru ini ingin melihat lebih ramai wanita terus diperkasakan melalui program-program yang berkesan yang memberikan mereka kemampuan untuk membuat pilihan dan terlibat dalam membuat dasar dan keputusan.
Beliau mahu wanita mempunyai akses kepada peluang, termasuklah pemerkasaan seperti dalam ekonomi, pendidikan, dan politik untuk membolehkan wanita membuat pilihan yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka dan keluarga mereka.



