BANTUAN.. Kong Soon Choi bersama isteri menyampaikan bantuan barangan makanan, kewangan dan peralatan sekolah kepada para penghuni Asrama Don Bosco Bundu Tuhan.
RANAU: Kebajikan penghuni Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan terus mendapat perhatian pemimpin setempat yang sudi menghulurkan bantuan berupa barangan makanan, peralatan sekolah serta sumbangan kewangan dalam tempoh Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kong Soon Choi yang juga merupakan Timbalan Ketua Wiramuda Parti Star Sabah bersama isteri Amylia Nasun telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada para penghuni dan kakitangan asrama berkenaan bagi meringankan bebanan sepanjang tempoh PKP masih dikuatkuasakan.
Kong yang ditemui media menjelaskan, sumbangan tersebut merupakan amalan kebajikan yang dijalankan beliau bersama keluarga setiap tahun bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik serta meringankan bebanan pentadbiran Asrama Don Bosco yang bertanggungjawab menjaga kebajikan penghuni asrama daripada pelbagai latar belakang dari seluruh negeri Sabah.
“Saya terpanggil untuk menghulurkan sedikit bantuan kepada kanak-kanak Asrama Don Bosco serta kakitangan asrama ini kerana saya menyedari kepayahan mereka dalam tempoh PKP berkuatkuasa. Saya harap dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka”, jelasnya pada khamis.
Sementara itu, Penyelia Asrama Don Bosco, Frilex Yandang yang mewakili penghuni asrama menjelaskan, beliau amat berterima kasih kepada Kong Soon Choi dan keluarga kerana prihatin dengan kebajikan pusat jagaan kanak-kanak tersebut.
Katanya, sejak PKP dilaksanakan pada bulan Mac tahun lalu, asrama tersebut memang memerlukan apa juga keikhlasan daripada mana-mana pihak yang sudi tampil untuk menghulurkan bantuan barangan makanan bagi mempastikan kebajikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik terus terbela.
‘’Saya bagi pihak seluruh penghuni asrama ini amat berterima kasih dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib para penghuni disini. Bantuan yang disumbangkan ini akan kami gunakan sewajarnya dan kami mendoakan kesejahteraan para penderma yang ikhlas membantu kami semua’’,kata Frilex.
Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan telah dibuka dengan rasminya pada 11 Jun 1988 bagi menempatkan kanak-kanak dan remaja beragama Kristian Roman Katolik (RC) yang kurang bernasib baik.
Ketika ini, seramai 60 orang penghuni mendiami asrama tersebut yang terdiri daripada 40 orang kanak-kanak perempuan dan 20 orang kanak-kanak lelaki daripada seluruh negeri Sabah. Ada dikalangan mereka yang kehilangan ibu bapa, diabaikan keluarga akibat percerian serta keluarga yang kurang berkemampuan. Asrama ini diselia sepenuhnya oleh Rev. Fr. Micheal Modoit serta dibantu lapan orang kakitangan yang berperanan sebagai Penyelia Asrama.