Keadaan Jalanraya yang rosak dan berlubang dan memerlukan penyelenggaran segera daripada pihak pemaju.
KOTA KINABALU: Penghuni Taman Perumahan Cyber City Apartment Fasa I dan II merayu agar pihak pemaju segera melakukan penyelenggaran ke atas beberapa kerosakan jalanraya sepanjang laluan keluar dan masuk ke taman perumahan berkenaan.
Tinjauan mendapati, beberapa kawasan disepanjang jalanraya keluar dan masuk ke Taman Perumahan tersebut mengalami kerosakan dan berlubang yang boleh mendatangkan kerosakan kepada kenderaan termasuk juga mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalanraya kawasan itu.
Seorang penghuni yang enggan namanya disebut menyatakan kerosakan jalanraya disekitar kawasan taman perumahan tersebut telah sekian lama berlaku. Namun sehingga kini, kerja-kerja pembaikan belum dilaksanakan oleh pemaju. Beliau juga menyatakan, keadaan jalanraya bertambah bahaya ketika musim hujan kerana terdapat takungan air di lubang-lubang yang terbentuk akibat kerosakan jalanraya.
‘’Selain pembaikan kerosakan, pihak pemaju juga perlu membina parit di kiri dan kanan bahu jalan bagi mengalihkan takungan air ketika musim hujan”, tegasnya.
Taman Perumahan Cyber City Apartmen I dan II antara kawasan yang mempunyai kepadatan penghuni kerana lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kota Kinabalu serta beberapa Bangunan Pejabat Kerajaan.