Mohd Redzuan (dua dari kiri)menyaksikan ternakan ikan di Kampung Monsok Ulu.
TAMBUNAN:Pengerusi Koperasi Usahawan Bumiputera Sabah Berhad (KUWANIS)Mohd Redzuan Alim menyantuni anggota Koperasi dengan mengadakan lawatan di beberapa buah kampung di daerah ini pada Selasa.
Antara kampung yang dilawati dalam lawatan selama tiga hari itu ialah Kampung Sunsuron Kepayan Baru, Tiong Widu, Piolungan, Monsok Ulu, Monsok Tengah dan Kaingaran.
Menurut Mohd Redzuan, tujuannya adalah berkongsi kefahaman berkaitan Modal Syer anggota serta kaedah perkongsian keuntungan dalam perniagaan KUWANIS dan kepelbagian produk pembiayaan yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Mohd Redzuan yang juga Ahli Lembaga KUWANIS berkata, KUWANIS adalah sebuah Koperasi yang ditubuhkan untuk menggabungkan usahawan bumiputera Sabah khususnya daripada golongan Usahawan kuwanis dalam satu bumbung dengan niat untuk berkongsi kepakaran, ilmu, latihan serta aktiviti berkaitan dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi ahli dan masyarakat setempat.
Selain itu katanya, KUWANIS akan memberi bantuan dalam perjalanan dan pengurusan aktiviti Perkhidmatan, Pengguna, Pertanian dan Pembinaan kepada anggota mahupun yang sudah beroperasi ataupun yang baru ingin memulakan operasinya.
“KUWANIS juga menyediakan platfom untuk anggota berkongsi ilmu dan pengetahuan antara satu sama lain berkaitan fungsi-fungsi yang ditawarkan oleh Koperasi” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak-tapak projek selama tiga hari di daerah ini.
Disamping itu katanya, KUWANIS akan mempersiapkan anggota dengan ilmu berkaitan dengan aktiviti didalam fungsi-fungsi yang berkaitan seperti menganjurkan program kemahiran dan lain-lain serta membantu anggota dari segi ekonomi dan kebajikan selain membantu setiap anggota Kuwanis bagi perlaksanaan Setiap projek yang mereka telah rancang.