26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Jun 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PENGELUARAN KOKO RANAU DIJANGKA MENINGKAT

Ucapan perasmian oleh Datuk Dr Ramle


RANAU: Sebanyak RM9.5 juta diperuntukan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) bagi melaksanakan Program Pemulihan Kebun Koko pada tahun 2024 hingga 2026 bagi meningkatkan lagi pengeluaran koko di negara ini.


Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr Ramle Haji Kasin berkata, daripada jumlah tersebut Sabah diperuntukan sebanyak RM5 juta bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada.


Langkah ini, katanya dijangkakan akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,084 orang petani di negeri ini.


“Keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar, iaitu 57.6%, dan dari jumlah ini, 3,445 hektar adalah di Sabah.


“Keluasan ini dijangka akan meningkat dengan pelaksanaan Program Tanaman Baharu Koko dengan sasaran seluas 550 hektar di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia ke12,” katanya.


Sementara itu, bagi daerah ini, beliau mengatakan bahawa, keluasan tanaman koko aktif di Ranau adalah berjumlah 617 hektar yang diusahakan oleh 1,097 orang petani.


Dr Ramle menambah, LKM Unit Ranau juga telah dan sedang terlibat dengan projek-projek Tanaman Baharu 2022 seluas 110 hektar dan Tanaman Baharu 2023 seluas 40 hektar.


“Daripada jumlah keseluruhan 550 hektar Tanaman Baharu sepanjang RMK12 ini, 27% atau 150 hektar adalah dilaksanakan di kawasan seliaan LKM Unit Ranau.


“Dari segi pengeluaran biji koko, pada tahun lalu (2022), pengeluaran koko negara adalah 493 tan metrik. Dari jumlah tersebut, 55 % adalah dari Sabah iaitu sebanyak 270 tan metrik,” katanya.


Untuk tahun 2023, menurut beliau, pada tempoh Januari hingga September tahun ini, pengeluaran koko negara telah mencapai 168 tan metrik.


“Pengeluaran yang agak rendah ini berikutan cuaca tidak menentu yang mengganggu musim buah koko pada awal tahun ini dan juga kekurangan aplikasi input pertanian.


“Menyedari tentang pentingnya untuk pengeluaran biji koko tempatan ditingkatkan, maka kerajaan telah meluluskan beberapa peruntukan untuk program pembangunan tanaman koko negara, pada tahun 2024 hingga 2026.


“Antaranya adalah Projek Pemulihan Kebun Koko yang akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM9.5 juta,” kata beliau.


Selain itu, katanya, LKM juga sedang melaksanakan beberapa projek pembangunan seperti Projek Pemodenan Petani Koko yang mengalakkan penggunaan teknologi dan Projek Pembangunan Bahan Tanaman Koko Fine or Flavor.


“Projek-projek ini diharapkan dapat meningkatkan pengeluaran dan kualiti biji koko, antaranya bagi memenuhi permintaan dengan tawaran hargaharga yang tinggi daripada pengusah-pengusaha coklat.


“Selain itu, LKM juga sedang berbincang atau telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat dan agensi seperti Berry Callebaut dan Nestle, bagi menjalankan beberapa projek yang melibatkan petani koko di Ranau,” kata beliau.


Dr Ramle berkata demikian semasa merasmikan Program Taklimat Projek RPHK12, Kursus Asas Pengredan Biji Koko, dan Majlis Anugerah Petani Koko Jaya Unit LKM Ranau yang diadakan di sini pada hari Isnin.


Menurutnya, program tiga serangkai ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai kepentingan penjagaan kualiti biji koko, mengiktiraf kejayaan petani koko sekitar Ranau dan merapatkan hubungan antara kakitangan LKM dengan petani.


“Saya difahamkan seramai 120 pekebun kecil koko seliaan LKM Unit Ranau menyertai program yang diadakan selama satu hari yang melibatkan tiga buah daerah iaitu Daerah Ranau (110 orang), Kota Belud (5) dan Tambunan (5).


“Syabas kepada semua, kerana menghadiri program ini yang meliputi taklimat Program Rangsangan Peningkatan Hasil Koko RMK12 (RPHK12), Kursus Asas Pengredan Biji Koko dan Majlis Anugerah Petani-Petani Koko seliaan LKM Unit Ranau Tahun 2023,” katanya.


Tambah Dr Ramle lagi, program itu adalah program yang sangat penting dijalankan untuk mempastikan kelangsungan kepada pembangunan tanaman koko khasnya di seluruh kawasan seliaan Unit LKM Ranau.


“Saya sangat menggalakkan program seumpama ini kerana ianya adalah untuk memberi penghargaan kepada para petani atas usaha mereka mengusahakan tanaman koko sehingga berjaya meningkatkan hasil dan pendapatan.


“Diharapkan anugerah ini akan memberi motivasi kepada pengusaha tanaman koko. Syabas dan tahniah dan semoga program ini diteruskan,” kata beliau.


Dr Ramle merakamkan tahniah kepada Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengembangan (TOTe) khasnya LKM Unit Ranau kerana berjaya menganjurkan program seumpama itu.


“Terima kasih juga kepada para peserta yang telah dapat meluangkan masa untuk menghadiri kursus ini, dan diharapkan program ini akan dapat manfaat kepada semua,” katanya.


Dalam program itu, Dr Ramle menyerahkan mock cheque RPHK12 TB23 yang berjumlah RM1,022,800 kepada Pengerusi Persatuan Penanam Koko Ranau (PPKR), Bidi Bongkok.


Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengembangan LKM, Abdul Karim Che Hamid, Pegawai Wilayah TOTe Sabah LKM, Nazmiah Mohd Duin, Ketua Unit LKM Ranau merangkap Pengerusi Penganjur Program, Edwin Mujin, Pengerusi Pelaksana Program, Eddmas Nizam Sanin dan lain-lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN