AHLI Pengakap dan pegawai yang bertugas sempena Kempen Derma Darah PPMWPL bergambar kenangan bersama Skip Hong Heng Chee (duduk tengah).
LABUAN: Persatuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (PPMWPL) berjaya mengumpul 64 pain darah sempena Kempen Derma Darah yang diadakan di Teratai Square Financial Park, dekat sini, pada Ahad.
Kempen yang bertemakan ‘Every Blood Donnor is a Hero’ itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Financial Park.
Menurut Pengerusi Penganjur, Eric Eng Keng Seng kempen derma darah berkenaan merupakan acara komuniti tahunan yang telah tertangguh dua tahun iaitu sejak tahun 2020 dan 2021 akibat penularan virus COVID-19.
“Bagaimanapun selepas kerajaan mengumumkan fasa peralihan pihak PPMWPL berupaya menganjurkan sekali lagi kempen berkenaan dan merupakan penganjuran kali ke-13 semenjak ia diadakan kali pertama pada tahun 2008.
“Kutipan pada tahun 2019, tahun terakhir kempen ini dijalankan ialah 68 pain” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

SIJIL…Mohd Alias menyampaikan sijil penghargaan kepada penderma darah sambil diperhatikan Mohd Irfan (kiri sekali)
Beliau berkata, objektif utama kempen ini adalah untuk mengumpul bekalan darah untuk disumbangkan kepada pihak hospital, disamping memberikan pendedahan tentang kepentingan menderma darah kepada ahli Pengakap khususnya dan komuniti Labuan amnya.
Sementara itu, tiga buah persatuan pengakap sekolah yang melibatkan ahli Pengakap SM Sains Labuan, SMK Lajau dan SMK Labuan serta Krew Pengakap Kelana A, telah di beri tanggungjawab untuk membantu pelaksanaan kempen ini.
Turut membantu kempen ini dua ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, cawangan Labuan, Koh Siew Leong dan Nelson Wong.
Katanya, Kempen ini juga turut mendapat tajaan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Skip Hong Heng Chee.
Sementara itu, Yang Di Pertua Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Dato’ Seri Mohd Alias Abdul Rahman menyampaikan sijil penghargaan kepada para pederma darah.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia Negeri, Mohd Irfan Sim Abdullah dan ahli-ahli Majlis Pengakap Negeri dan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri.