28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PENERIMA ANUGERAH JADIKAN PENGALAMAN KOKURIKULUM UNTUK TERUS CEMERLANG

Gambar : Adik Ian dan Rea bertekad belajar hingga ke puncak menara gading    

            

PENGANUGERAHAN sebagai Tokoh Kokurikulum Tahun 2021 yang telah diberikan kepada Ian Octa Peter dan Rea Elydebra Ardin oleh Sekolah Kebangsaan Nalapak baru-baru ini telah dijadikan suntikan semangat oleh kedua-dua murid ini untuk terus aktif dalam bidang tersebut hingga ke puncak menara gading.

Bagi mereka aktiviti luar bilik darjah dan akademik adalah dua elemen penting yang tidak boleh diabaikan untuk kecemerlangan seseorang pelajar.

Ian dan Rea pelajar Tahun 6 masing-masing akan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Lohan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Matupang Jaya. Mereka bertekad akan memulakan azam baru untuk terus fokus dalam kedua-dua bidang kokurikulum dan akademik.

Mereka ketika ditemubual oleh media BDB bersyukur kepada guru-guru di sekolah itu kerana telah memberikan bimbingan kepada semua ahli dari kelas Tahun 4 hingga Tahun 6 melalui pelbagai kemahiran asas dalam aktiviti kokurikulum.

Bagi mereka pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang bersekolah di sekolah itu ialah pada waktu sekolah mengadakan Program Perkemahan yang memerlukan para peserta bermalam di kawasan padang sekolah. Semua murid dari Kelas Tahun 4, 5 dan 6 seramai 73 orang ketika itu itu telah diwajibkan menyertai perkhemahan tersebut dan telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Rea yang juga cemerlang dalam bidang akademik berkata aktiviti yang paling menyeronokkan ketika itu ialah apabila mereka diberikan masa mendirikan khemah. “Ahli saya kelihatan begitu tekun bekerjasama mendirikan kemah dan saling memastikan kekemasan sepanjang masa di dalam dan luar kemah terjaga kerana akan dinilai untuk dimasukkan sebagai markah terkumpul dalam kumpulan. Kami menyedari bahawa sikap tolong-menolong itu sangat penting,” katanya.

Bagi Ian pula yang juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Murid Tahun 2021, dia lebih mengingati pengalaman ketika aktiviti Masakan Rimba.

“Pada waktu itu kumpulan kami berusaha bersaing dengan kumpulan lain. Kami diberikan bambu dan bahan-bahan seperti beras, telur, sayur kampung, perisa dan lain-lain untuk dimasak. Di situlah kami dapat merasai seolah-olah hidup di tengah hutan.

“Kami mencari ranting-ranting kayu yang kering untuk dijadikan kayu api, mencari daun-daun lebar untuk dijadikan piring dan batu tempat meletakkan batang bambu yang sudah dibelah dua. Kami memasak nasi dan lauk dalam bambu, sangat memberikan pengalaman kepada kami,” katanya.

“Banyak lagi aktiviti lain yang telah kami sertai mengikut pilihan masing-masing seperti Tunas Kadet Remaja Sekolah di bawah Guru Penasihat Cikgu Annong Parijo, Pengakap (Cikgu Hanisah Duis), Bulan Sabit Merah Malaysia (Cikgu Rosyah Parin), Kelab Bola Sepak (Cikgu Petrus Gimbang), Bola Jaring (Cikgu Dorothy Simon) Badminton (Cikgu Shafiq Abdullah), Bola Baling (Cikgu Ronny Madan), Doktor Muda (Cikgu Wilemina Biri Anak Embit), Kebudayaan (Cikgu Sitiwati Arifin), Persatuan Bahasa Malaysia (Cikgu Rusnita Sarinin), Persatuan Bahasa English (Cikgu Joy Begul/Cikgu Joe Lidy Taip) dan Matematik (Ustaz Muhammad Salman),” kata mereka.

 “Kepada semua guru, kami mewakili murid Tahun 6 ingin mengucapkan terimakasih atas bimbingan dan nasihat cikgu-cikgu. Kami adalah antara yang bertuah sebab dalam norma baharu sekolah belum tentu semua aktiviti yang kami sertai dapat dinikmati oleh adik-adik kami yang lain,” ujar mereka mengakhiri perbualan.
 
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN