27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Penduduk Ranau bakal terima bekalan eletrik yang lebih baik

RANAU: Ribuan penduduk daerah ini bakal menerima bekalan eletrik yang lebih baik dengan rasminya Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Lingkudou 33/11Kv dekat sini pada hari Sabtu.


Pelancaran rasmi PPU Lingkudau itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, disaksikan oleh pimpinan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan juga pemimpin lain di sini.


Antara yang hadir dalam upacara tersebut termasuk MP Ranau, Datuk Jonathan Yasin, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan ADUN dilantik, Datuk Amisah Yassin.


Dalam ucapannya, Masidi memuji dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi memastikan projek PPU Lingkudau itu dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.


“Pembinaan PPU Lingkudau adalah sangat berimpak tinggi kepada penduduk setempat kerana bertujuan untuk memberikan bekalan elektrik yang lebih berdaya harap dan lebih stabil.


“Pembekalan elektrik ke Kawasan Ranau adalah melalui grid dan tidak lagi bergantung kepada Stesen Janakuasa yang menggunakan diesel.


“Pembinaan PPU ini juga bertujuan untuk menyediakan kapasiti elektrik untuk pembangunan yang akan datang bagi meningkatkan lagi ekonomi di Kawasan Ranau,” kata beliau.


Masidi yang juga merupakan ADUN Karanaan berkata, demi kelangsungan bekalan elektrik yang lebih mampan untuk rakyat di kawasan sekitar, projek ini telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada high impact projek.


Katanya, ia dilaksanakan bertujuan untuk mengukuhkan sistem pembahagian elektrik di daerah Ranau dan dengan siap sepenuhnya PPU Lingkudou ini kelak akan mampu menampung permintaan bekalan elektrik di daerah ini seterusnya membantu pembangunan ekonomi rakyat di kawasan Ranau.


Dalam pada itu, katanya, Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan rakyat menerima bekalan tenaga elektrik yang mencukupi, dipercayai, eifisien, berpatutan dan selamat.


“Dengan demikian, peranan SESB amat penting sebagai pemangkin yang bertindak kepada penjana ekonomi negeri Sabah khasnya menerusi agenda Sabah Maju Jaya dan memenuhi peranan sebagai syarikat pembangun dan pembekal tenaga elektrik untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.


“Kemajuan kemudahan bekalan elektrik di Ranau ini juga secara tidak langsung membantu rakyat meningkatkan taraf kehidupan mereka selari dengan daerah-daerah lain yang lebih maju di negeri Sabah.


“Pendek kata dengan adanya bekalan elektrik yang lebih mampan dan berdaya harap, semua aktiviti telah dipermudahkan,” katanya.


Tambah beliau, pihak kerajaan sentiasa memainkan peranan yang begitu signifikan dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan asas ini dan bagi kerajaan, penyediaan bekalan elektrik ini adalah merupakan satu obligasi sosial.


Masidi menambah bahawa hal mencapai tadbir urus yang baik dalam bekalan elektrik melibatkan kerjasama antara badan kerajaan, pihak berkuasa kawal selia, pembekal elektrik dan pengguna.


Kesan sinergistik usaha kolaboratif ini, katanya, memastikan sektor elektrik beroperasi dengan berkesan, memenuhi keperluan penduduk.


“Memandangkan kerajaan negeri telah menggubal enakmen bekalan elektriknya sendiri, maka adalah penting untuk kita sama-sama memastikan tadbir urus pembekalan elektrik di Sabah lebih terbuka, adil dan bertanggungjawab.


“Justeru itu, aspek tadbir urus perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan sector bekalan elektrik yang merangkumi penambahbaikan rangka kerja dan sistem perundangan, infrastruktur, pemasaran dan penggunaan elektrik.


“Saya berharap SESB akan lebih berkembang dengan maju di bawah kawal selia yang baharu bermula pada Januari 2024 ini. Sebagai pembekal elektrik utama di Sabah, SESB memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata, bangunan PPU yang dirasmikan Dalam majlis itu akan memberi anjakan baru kepada sistem bekalan tenaga elektrik di Ranau yang sebelum ini hanya bergantung kepada genset Diesel.


“Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bahawa di daerah ini masih belum disambungkan kepada grid sejak puluhan tahun yang lalu.


“Justeru, dengan pembinaan dan pengoperasian PPU ini, maka proses penyambungan talian bekalan tenaga elektrik di Ranau ke Sabah Grid kini boleh mula dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” katanya.


Tambah Madius, pembinaan projek PPU Lingkudau telah dimulakan pada 29 Disember 2020 dengan peruntukan sebanyak kira-kira RM30 juta.


“Walau bagaimanapun, projek yang melibatkan pembinaan bangunan setinggi dua tingkat di kawasan tapak seluas 0.766 ekar ini melewati dari tarikh jangkaan siap iaitu pada 22 Jun 2022.


“Tempoh pembinaan projek ini kemudiannya dilanjutkan selama 12 bulan. Terima kasih kepada Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) selaku penguasa projek kerana akhirnya PPU ini siap dan telah pun dimulatugas pada 10 Januari 2024,” katanya.


Tambahnya lagi, buat masa ini, talian tenaga elektrik disambungkan ke Grid melalui Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Belud ke PPU Lingkudau melalui talian interim 33kV.


Talian interim ini, katanya, akan terus memberikan bekalan tenaga sehinggalah PMU Ranau siap kelak pada September 2025.


“SESB akan terus berusaha untuk terus memenuhi agenda kerajaan bagi memastikan rakyat menerima bekalan tenaga elektrik yang mencukupi, dipercayai, eifisien, berpatutan dan selamat.


“Kita tahu ada keputusan-keputusan lampau yang menyebabkan akhirnya kita kini sedang menuai hasilnya. Walau apa pun, bagi saya, yang berlalu tetap sudah berlalu. Namun suatu yang penting kita harus ambil iktibar agar apa pun kesilapan terdahulu tidak diulang kembali pada generasi kita pada masa ini.


“SESB akan terus berusaha sebagai pemangkin kepada penjana ekonomi negeri Sabah khasnya menerusi agenda Sabah Maju Jaya, seterusnya memenuhi peranan sebagai syarikat pembangun dan pembekal tenaga elektrik untuk Sabah dan juga Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.


Turut hadir, Dato’ Abdul Razak Abdul Majib, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar, Pengarah PPKBES Sabah, Ir Ismail Bin Hashim dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN