RUNTUH…… Jambatan yang menjadi laluan utama penduduk sekitar, runtuh pada awal pagi Isnin
RANAU: Penduduk Kampung Nampasan Lama di sini, termasuk lima buah kampung sekitarnya merayu kerajaan untuk membina sebuah jambatan baharu bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh.
Jambatan sejauh kira-kira 50 Meter merentangi sungai Tahubang runtuh pada jam 5.30 pagi Isnin, dipercayai akibat hakisan dan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
Seorang penduduk dari Kg. Gana-Gana, Endy Ladis 45, memberitahu bahawa jambatan itu adalah laluan penting menghubungkan ratusan penduduk kampung ke pekan Ranau termasuk pelajar Sekolah Menengah.
“Selain dari keadaan jalan yang teruk di kawasan ini, kami sekarang menghadapi situasi jambatan yang runtuh ini. Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera demi penduduk di sini,” katanya.

Andy Ladis…ketika berada di lokasi kejadian
Menurut Endy, setelah jambatan runtuh, yang menjadi laluan utama penduduk dari enam kampung, iaitu Kg. Nampasan Lama, Giring-Giring, Gaur, Bayag, Kitaie dan Togoyog tersekat dari perjalanan ke pekan Ranau, atas urusan penting.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman berkata, punca runtuhan itu dikenal pasti sebagai hakisan tanah.
“Akibatnya, jambatan itu rosak, dan kami mengklasifikasikan keadaan tersebut sebagai berbahaya, dan tidak boleh dilalui kenderaan.
“Mujur tidak ada kenderaan yang melalui jambatan itu semasa insiden berlaku, tetapi dengan jambatan tersebut tidak lagi berfungsi, laluan darat terputus, tanpa jalan alternatif tersedia,” katanya.
Mac Glen, mengatakan keputusan dibuat untuk menutup laluan selama dua hari, untuk memberi jalan kepada kontraktor membuat pengalihan sementara menggunakan lorong meletakkan batu kelikir.
Selain itu, beliau berkata, pembaikan jambatan yang runtuh akan dilakukan sebaik sahaja jalan sementara selesai.