GOTONG-ROYONG….sebahagian penduduk mengutip sampah
NABAWAN: Penduduk Kampung Ranau-Ranau bergotong-royong membersihkan kawasan kampung berkenaan sebagai usaha membanteras denggi pada pagi Jumaat.
Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jonu@Peter J Moinjil berkata, mini gotong royong dilaksanakan susulan laporan daripada Pejabat Kesihatan Negeri Sabah yang mana terdapat 38 penduduk di daerah ini diserang demam denggi.

Penduduk membersihkan sistem perparitan
“Ancaman demam denggi yang menimpa 38 penduduk di daerah ini adalah cukup membimbangkan kerana ia boleh mengancam keselamatan kesihatan penduduk-penduduk yang lain.
“Di atas kesedaran tersebut, kami mengerakkan aktiviti gotong royong ini bersama-sama seluruh penduduk termasuk termasuk agensi kerajaan dalam usaha pembersihan kawasan persekitaran di kampung ini.
“Antara agensi yang turut serta adalah Pejabat Daerah Nabawan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Nabawan, Majlis Daerah Nabawan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pejabat Penerangan Daerah Nabawan yang turut mengadakan hebahan dan edaran risalah berkenaan wabak berkenaan kepada masyarakat di kawasan ini,” ujarnya.

Ketua Inspektorar dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan, Kenedi Matusin
Sementara itu, Ketua Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan, Kenedi Matusin menyeru orang ramai untuk memainkan peranan dalam mengawal penyakit demam denggi ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa membersihkan kawasan luar dan dalam rumah dengan memusnahkan tempat takungan air yg berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.
“Walaupun negara kini sedang dilanda wabak Covid-19, penyakit Demam Denggi juga harus diberi perhatian dan dikawal dan ini bukan terletak sepenuhnya di bahu PKD Nabawan semasa-mata tetapi ia adalah menjadi tanggungjawab seluruh penduduk Daerah Nabawan.
“Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, oleh itu penduduk daerah Nabawan juga harus memainkan peranan penting dlm kawalan penyakit demam denggi demi melindungi keluarga dan seluruh masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita.

Pegawai Penerangan Daerah Nabawan (kanan) mengagih-agihkan risalah pencegahan denggi kepada penduduk kampung.
Kenedi turut berkata, pihak PKD Nabawan melalui Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Nabawan akan sentiasa membuat pemantauan berterusan dari masa ke semasa.
Hadir sama pada program adalah Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Hasinin Kinsim dan Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Asmidar Zainol.
Seramai 50 buah rumah dengan 200 penduduk terlibat dalam mini gotong royong berkenaan.