BERMUAFAKAT: Sebahagian penduduk Kg.Nampasan yang menyertai gotong royong itu merakam gambar kenangan bersama Benedict (berdiri lapan dari kiri) dan rombongan daripada Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
RANAU: ‘Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing’, ‘Bermuafakat Membawa Berkat’, demikian Peribahasa Melayu yang ingin diterapkan penduduk Kg.Nampasan yang menjayakan gotong royong membersihkan dan menceriakan kawasan kampung mereka yang dihadiri lebih 30 orang penduduk bersama para Pegawai Perhubungan dari Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau baru-baru ini.
Menerusi gotong royong seumpama itu, bukan sahaja mampu menyiapkan sesuatu kerja dengan lebih cepat malah menjimatkan masa dan kos dari segi kewangan.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda ketika ditemui selepas menyertai gotong royong itu, memuji komitmen penduduk kerana hadir menjayakan program tersebut tanpa membezakan dari segi agama dan idologi politik.
“Gotong royong seperti ini, amat baik memberi kesan positif kepada penduduk bagi mewujudkan panorama kawasan kampung yang bersih sekaligus menghindarkan suatu penyakit berjangkit yang mungkin disebabkan keadaan yang kotor.
“Gotong seumpama ini juga punyai matlamat mewujudkan perpaduan dan permuafakatan dikalangan penduduk”, tambah Benedict.