Heirwan Shah Masari, Ketua Penolong Pengarah MSN Sabah, Heirwan Shah Masari.
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Pencapaian atlet pada Karnival Bakat Sabah 2026 yang dijangka diadakan bulan depan akan direkodkan dan dijadikan data rujukan memantau perkembangan prestasi.
Sehubungan dengan itu, Ketua Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Heirwan Shah Masari mencadangkan supaya seorang pegawai diberikan tanggungjawab khusus untuk merekod dan menyimpan data atlet yang terlibat.
Cadangannya itu mendapat sokongan Pengarah MSN Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor dan ahli mesyuarat semasa Mesyuarat Urus Setia karnival berkenaan di sini pada Jumaat.
MSN Sabah dalam laman rasmi Facebooknya berkata, data tersebut bukan sekadar untuk mengetahui siapa yang menang atau kalah dan segalanya berakhir selepas karnival berakhir.
Data berkenaan amat penting sebagai rujukan apa yang perlu dilakukan dan apa yang berlaku selepas pertandingan berakhir kerana karnival itu adalah antara program pembangunan MSN Sabah.
“Sebab itu perjalanan mereka wajar mula direkodkan dari sekarang,” jelas MSN Sabah.
Data itu akan dijadikan rujukan untuk melihat peningkatan prestasi, menilai potensi serta memantau perjalanan atlet muda apabila mereka terus berkembang dalam sukan yang diceburi.
“Hari ini mungkin mereka bertanding di peringkat pembangunan. Beberapa tahun lagi, sebahagian daripada nama yang sama mungkin sudah berada di pentas yang jauh lebih besar,” katanya.
Enam sukan telah dipilih untuk mengisi karnival tersebut iaitu angkat berat, judo, boling padang, memanah, menembak dan ping pong di mana pelaksanaan pertandingan dibuat mengikut kesesuaian sukan dan venue masing-masing.
Idea penganjuran karnival itu adalah bagi memberi ruang dan peluang lebih besar kepada atlet muda negeri ini mendapat pengalaman dan pendedahan pertandingan berkualiti.
“Bukan semuanya sudah berada di barisan hadapan. Ada yang masih membina keyakinan, ada yang sedang mengasah kemahiran dan ada juga yang mungkin hanya memerlukan satu peluang untuk menunjukkan sejauh mana mereka mampu pergi.
“Sebab itulah Karnival Bakat ini dirancang dalam skala yang lebih sederhana. Tidak perlu acara yang terlalu besar atau gimik berlebihan.
“Fokusnya adalah pertandingan…memberi atlet peluang bersaing, membolehkan jurulatih melihat perkembangan mereka dan menyediakan satu lagi ukuran sebelum bakat yang benar-benar menyerlah diberikan pendedahan seterusnya,” kata MSN Sabah.



