30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PERMULAAN YANG BAIK BAGI SABAH FC: BUNG MOKTAR

Pemain-pemain Sabah FC menjalani latihan ringan sebelum bertolak ke Kedah.

KOTA KINABALU :Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Dato Sri Bung Moktar Radin (gambar) menyifatkan sebagai permulaan yang baik bagi Sabah FC apabila mencapai keputusan seri 1-1 dengan pasukan Melaka United dalam perlawanan pertama Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu lepas.

Katanya, mengutip satu mata di tempat lawan boleh dianggap baik kepada pasukan pelawat.

Bagaimanapun, menurut beliau, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki oleh Sabah FC untuk meningkatkan prestasi pasukan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri meminta Sabah FC supaya memberi penekanan untuk memperbaiki pasukan agar ia mampu melakukan yang terbaik.

“Saya berharap pasukan beri penekanan dalam soal ini supaya sebarang kelemahan dapat diperbaiki dan mampu bersaing dengan pasukan lain selepas ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, memperoleh satu mata di gelanggang lawan boleh dianggap baik namun pasukan perlu memburu kemenangan memandangkan masih banyak lagi perlawanan yang bakal diharungi.

“Kita perlu memperbaiki di mana ruang ada kelemahan bagi membolehkan pasukan terus bangkit dan mencipta kejayaan,” ujarnya.

Ketiadaan pemain import yang masih belum dapat diturunkan dalam pasukan sedikit merisaukan ketua jurulatih Sabah FC, Kuniawan Dwi Yulianto.

Hanya seorang sahaja pemain import, Park Tae Su yang diturunkan namun strategi menggunakan lima pemain pertahanan berjaya mengekang serangan Melaka United dalam perlawanan itu.

Sungguhpun lebih banyak bertahan dan hanya sekali-sekala melancarkan serangan dan peluang yang hadir pada minit-minit akhir separuh masa pertama tidak dipersiakan oleh Hamran Peter untuk meledakkan gol untuk mendahului lawan.

Gol penyamaan pasukan tuan rumah diperoleh menerusi S. Kumaarahan pada minit ke 62 babak kedua selepas berjaya melepasi perangkap off side pasukan pelawat.

Sabah FC akan menentang Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan keduanya di Stadium Darulaman malam esok (Selasa) sebelum melayan PJ City FC di Stadium Likas pada 13 Mac ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN