Ewon bersama Pemuda dan GEM UPKO Kota Belud..
KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda dan Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud sepakat bahawa Datuk Ewon Benedick perlu dikekalkan sebagai wakil rakyat bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Sehubungan itu, kedua-dua pergerakan itu akan melipatgandakan usaha bagi merealisasikan harapan itu dengan mengadakan pelbagai program mendekati rakyat di peringkat akar umbi terutamanya golongan belia beliawanis di Kadamian.
Ketua Pemuda Upko Kota Belud Jolyhame Saran berkata, usaha mendekati pengundi golongan muda telah pun dimulakan sebelum pilihan raya melalui pelbagai program kemasyarakatan.
“Saya berharap para pengundi khususnya di kawasan Kadamaian dapat memberikan sokongan padu kepada calon UPKO untuk kesinambungan pembangunan yang lebih pesat di kawasan ini.

Jolyhame
“Dalam tempoh lebih kurang dua tahun, kita sudah dapat melihat begitu banyak pembangunan di kampung-kampung (DUN Kadamaian), sebab itu, kita harus kekalkan beliau sebagai wakil rakyat Kadamaian untuk meneruskan perancangan yang belum sempat dilaksanakan,” katanya.
Jolyhame berkata, sokongan kepada calon yang mewakili parti kerajaan negeri Sabah amat penting kerana keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk menentukan kerajaan Sabah yang akan diwarisi generasi akan datang.
Sementara itu Ketua GEM UPKO Kota Belud Joel Deukin turut mengajak pengundi-pengundi generasi muda supaya membuat pilihan bijak pada 26 September ini dengan memberikan kemenangan majoriti yang lebih besar kepada calon UPKO.
“Setiap undi amat penting kerana undi kita akan menentukan siapa yang akan menjadi wakil rakyat di Kadamaian dan juga kerajaan negeri yang akan menerajui pemerintahan negeri Sabah.

Pemuda UPKO Kota Belud.
“Oleh itu jangan lupa menunaikan tanggungjawab pada 26 September ini dan pastikan kemenangan berpihak kepada Calon Nombor 1, Datuk Ewon Benedick,” katanya.
Joel turut bersetuju dan memuji pendekatan kempen yang Ewon amalkan selama ini iaitu berkempen secara berhemah dan tidak memburuk-burukkan pihak lawan.
“Adalah lebih baik UPKO ketengahkan cara berkempen yang berhemah dan telus kerana pada akhirnya, semuanya adalah komuniti sendiri.
“Dalam mendekati para pengundi akar umbi, saya sentiasa berpegang kepada pendekatan beliau (Ewon) supaya tidak menjadikan politik sebagai ruang perpecahan dalam perpaduan yang kita perjuangan,” katanya.

Ewon ketika mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Pemuda dan GEM Upko Kota Belud.
Setiausaha Kerja UPKO Kota Belud Romie Stanley Deukin turut menyokong pendapat rakan-rakannya dan berharap para pengundi Kadamaian dapat melihat pembangunan yang telah dibawa oleh Ewon di Kadamaian.
“Tiada sebab untuk menolak dan tidak menyokong Datuk Ewon … menolak maknanya menidakkan apa yang beliau usahakan di Kadamaian,” katanya.
Pada Jumaat, calon UPKO N11 Kadamaian Datuk Ewon Benedick meluangkan masa mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua GEM UPKO Bahagian Kota Belud selepas program santai bersama rakyat di Kg.Mandap, Kinasaraban, Pangi Kelawat, dan Kg Pahu.