Dr.Joachim
KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti termasuk pemindahan tiang elektrik dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, namun ia bukan satu-satunya punca kelewatan projek berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam, berkata proses pengalihan utiliti turut melibatkan kabel telekomunikasi serta pelbagai aset utiliti lain yang berada dalam jajaran pembinaan, sekali gus memerlukan penyelarasan rapi sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan.
Beliau berkata pengalihan utiliti merupakan komponen kritikal kerana kerja pembinaan tidak boleh dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.
“Proses ini bukan sekadar memindahkan aset, malah merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja-kerja pengalihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Ir. Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Penggal Kedua, hari ini.
Menurut beliau, selain isu pengalihan utiliti, kelewatan projek turut dipengaruhi faktor pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi pelaksanaan kontraktor mengikut pakej masing-masing.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, kerajaan telah memperkukuh mekanisme penyelarasan menerusi Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo serta mesyuarat penyelarasan berkala di peringkat tapak.
Katanya, isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi melibatkan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan Malaysia serta Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah bagi mempercepat proses penyelesaian.
Beliau berkata sebagai langkah penambahbaikan bagi projek infrastruktur akan datang, kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja-kerja awalan termasuk penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum pembinaan dimulakan.
“Pendekatan ini membolehkan isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan projek itu disiapkan secara teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri.



