KOTA KINABALU: Pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis bukan suatu keperluan mendesak buat masa ini kerana terminal lapangan terbang sedia ada masih cukup sempurna dari sudut fasiliti asas.
Menegaskan perkara itu, Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Kong Soon Choi berkata, masih terlalu banyak keperluan pembangunan mega yang sepatutnya didahulukan termasuk menyiapkan jalan-jalan raya yang mengalami kerosakan teruk serta membaikpulih sistem bekalan elektrik, air serta telekomunikasi dibeberapa kawasan negeri Sabah.
“Cadangan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu bukannya tidak penting untuk memacu ekonomi negeri, namun dalam iklim ekonomi yang mencabar ketika ini, adalah memadai jika terminal lapangan terbang sedia ada terus dikekalkan kerana fasiliti nya juga lengkap termasuk jarak landasan yang memenuhi piawaian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam”. Tegasnya.
Katanya, keperluan mendesak yang sering disuarakan rakyat akar umbi perlu diberi keutamaan dan kos untuk pemindahan lapangan terbang itu mungkin mampu untuk menampung beberapa projek pembangunan infrastruktur diluar bandar atau pekan-pekan lain.
Dalam masa sama, Kong juga mencadangkan agar pelabur hartanah itu meneroka keperluan membangunkan semula Lapangan Terbang Daerah Keningau yang mungkin jauh lebih penting keperluannya kepada rakyat di kawasan Pedalaman.
“Penilaian strategik yang lebih menguntungkan rakyat perlu dibuat dengan seadilnya. Jika kita tanya rakyat adakah pemindahan KKIA ke Kimanis suatu keperluan mendesak, sudah tentu mereka tidak bersetuju kerana itu bukan aspirasi mereka. Apa yang mereka mahu adalah segerakan penyiapan lebuh raya Pan Borneo, itu adalah keutamaan pertama”. Katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Kerajaan Negeri menerusi cabang pelaburan strategiknya Qhazanah Sabah Bhd (QSB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd (BLand) untuk meneroka kemungkinan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.
MoU itu merangkumi pemindahan KKIA yang membabitkan pembinaan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kimanis serta pelan pembangunan mampan di Kimanis atau mana-mana kawasan yang difikir sesuai oleh kerajaan Sabah.
Turut hadir dalam pemeteraian MoU berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Qhazanah Sabah Bhd (QSB), Ahmad Rizal Dahil, pengerusi QSB Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, pengasas dan pengerusi Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan bersama Berjaya Corp Syed Ali Shahul Hameed.