TERIMA KASIH……..Salah seorang staff premis menerima kunjungan Datuk Jonathan bersama sebahagian rombongan lain.
RANAU: Program walkabout sempena sambutan Tahun Baharu Cina berlangsung meriah di sekitar pekan Ranau dan Plaza Kiaburi di sini, baru-baru ini, dengan penglibatan pemimpin tempatan serta masyarakat pelbagai kaum.
Program itu bertujuan menyantuni peniaga dan orang ramai selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana penuh muhibah sempena perayaan berkenaan.
Walkabout berkenaan diketuai Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, yang turun padang menyapa para peniaga dan pengunjung di sekitar kawasan terbabit. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan untuk mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Turut menyertai program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Rusdin Riman, yang bersama-sama bergerak dari satu premis ke satu premis bagi menyampaikan sumbangan serta ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat setempat.

KENANGAN………Para peserta yang hadir sempat merakam gambar kenangan sebelum program bermula.
Sepanjang walkabout berkenaan, para pemimpin turut mengedarkan limau mandarin sebagai simbol kemakmuran dan tuah dalam budaya masyarakat Cina. Selain itu, kalendar Tahun Baharu Cina turut disampaikan kepada peniaga dan pengunjung sebagai tanda ingatan dan penghargaan.
Program dalam suasana santai dan mesra itu turut disertai Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Paginatan, Amisah Yasin, yang tidak ketinggalan beramah mesra serta bertanya khabar masyarakat yang ditemui.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB), Tan Eng Seng, yang membantu menyelaras pergerakan sepanjang program berlangsung.
Orang ramai yang ditemui melahirkan rasa teruja dan menghargai keprihatinan para pemimpin yang meluangkan masa bersama masyarakat sempena perayaan tersebut. Kehadiran mereka secara langsung disifatkan memberi makna besar kepada komuniti setempat.
Program walkabout itu bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat di daerah ini, malah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana harmoni sempena sambutan Tahun Baharu Cina. –Oleh Salwah Aramat



