Ghani (tengah, bertopi) dan rombongan bergambar kenanagn Belia Kampung Murni.
NABAWAN: Pemimpin belia sedia ada perlu menyediakan barisan pemimpin pelapis berkaliber, bagi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata pemimpin belia sedia ada ketika ini akan melepasi had usia ditetapkan, justeru persediaan awal perlu dilakukan bagi membentuk generasi pemimpin masa hadapan.
Beliau berkata ini termasuklah, mendedahkan pelapis pemimpin ini dengan pelbagai peluang pendidikan, dalam usaha melahirkan bakal pemimpin negara yang berkaliber dari pelbagai aspek termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Golongan belia berkenaan perlu sentiasa cekap, pantas, kreatif, bijak dan berani, dalam menghadapi apa jua cabaran, memandangkan mereka menentukan kejayaan setiap agenda pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Santai Bersama Belia Kampung Murni di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai, Ketua Daerah Nabawan Ulin Datuk Pamiang, Presiden Murni Real FA, Aming Suan dan pemimpin-pemimpin belia di sini.
Ghani berkata golongan belia melalui persatuan dan pertubuhan perlu sentiasa bergerak secara proaktif dalam menjalankan apa jua bentuk program, khususnya yang memberi faedah kepada golongan belia.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa menyokong agenda pembangunan belia di negeri ini dan bersikap terbuka menerima segala idea, cadangan, pandangan atau kritikan, yang membina demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini.
Terdahulu Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000.00 kepada Murni Real FA untuk bagi membantu biaya
anjuran bola sepak U12,U15,U18 remaja dan veteran 55th keatas selain mengadakan Kursus Kejurulatihan dan Pengadil bolasepak.
Disamping itu ia juga digunakan untuk pasukan apabila menyertai pertandingan bola sepak diluar daerah Nabawan dan kebajikan ahli serta aktiviti-aktiviti yang akan dirancang.
Pada majlis sama Ghani juga menyumbang RM500.00 untuk anjuran e-sport Belia Kampung Murni.
Selain itu beliau juga menaja sewa 10 permainan apabila Belia Kampung Murni menggunakan Kompleks Sukan Nabawan.
Ini kerana Kampung Murni belum mempunyai padang bola sepak.
Sehubungan dengan ini Ghani berkata, beliau akan cuba usahakan untuk wujudkan padang bola kampung ini jika tapak tersedia.
Pada majlis yang sama juga beliau meluluskan empat set jersi, lima biji bola, 50 buah kerusi dan tangki air (mengikut senarai yang akan dikemukakan oleh Pengerusi JPKKK).