26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

pemimpin akar umbi perlu menjaga integriti, kejujuran dan objektivit – Jahid

MADIN Menyampaikan cendera kenangan kepada Jahid sambil disaksikan Herman dan kakitangan UPPM yang lain.

TAMPARULI – Para pemimpin di peringkat akar umbi yang dilantik perlu menjaga integriti, kejujuran dan objektiviti agar kualiti kerja mereka lebih terjaga.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata selain tiga aspek tersebut, kesaksamaan dan pertimbangan sewajarnya ketika membuat keputusan juga amat dititik beratkan.

“Inilah antara elemen-elemen dalam kepimpinan yang perlu dijaga oleh para pemimpin masyarakat yang dilantik di peringkat daerah dan kampung,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, sini hari ini.

JAHID Dan kakitangan UPPM mengabadikan gambar kenangan di luar Bangunan Pejabat UPPM Tamparuli.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri KPLB Sabah, Romeo Sindeh, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Tamparuli, Gustin Gagah dan Penyelia Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun.

Menurutnya, hubungan harmonis dan setia kawan di antara Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan UPPM juga diharap agar dapat dijaga dan dikekalkan demi kebaikan semua pihak.

“Semuanya adalah ke arah persefahaman dan bukannya permasalahan untuk kebaikan semua pihak kelak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli mengingatkan kepada semua yang hadir agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri lebih-lebih lagi dalam keadaan Pandemik Covid-19 sekarang.

Katanya, jadual perjalanan yang lebih terancang untuk turun padang atau memasuki kampung-kampung juga penting agar semangat tinggi mereka tidak akan terhenti di tengah jalan.

“JPKK akan sentiasa menghubungi kamu, jadi buatlah penjadualan yang lebih sistematik terutamanya dalam aspek pertemuan dan lawatan agar tidak mengganggu pengurusan masa dan tidak terlalu letih,” katanya.

Tambahnya, jangkaan dan harapan rakyat kepada pemimpin terutamanya menteri adalah sangat tinggi, justeru beliau berharap mereka tidak tertekan dengan komen masyarakat, tetapi sentiasa bertenang dan menyelesaikan segala permasalahan sebaik mungkin.

Beliau menyarankan kepada UPPM agar terus aktif menyampaikan maklumat dan aktiviti mereka dalam media sosial agar segala informasi terkini dapat disampaikan kepada rakyat.

Terdahulu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak memberi sedikit gambaran sepintas lalu mengenai dapatan mereka sepanjang bertugas memasuki kawasan yang memerlukan perhatian kerajaan termasuk juga penambahan fasiliti di Pejabat UPPM Tamparuli.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging
ADO Tamparuli, mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin UPPM yang dilantik dan berharap kerjasama kedua-dua pihak dapat dikekalkan.

UPPM Tamparuli kini mempunyai seramai sembilan kakitangan termasuk seorang Pembantu Tadbir.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN