Salah seorang pemegang adat memakai pakaian tradisi rasmi yang disampaikan oleh Datuk Abidin
RANAU: Semua Pemegang Adat atau Ketua kampung di negeri ini khususnya di daerah Ranau dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan kuasa dengan mengkritik kerajaan dan wakil-wakil rakyat yang telah diberi mandat oleh rakyat di kawasan masing-masing.
Sebagai pemimpin di peringkat kampung yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan, ketua-ketua kampung adalah pasukan barisan hadapan yang mempunyai tanggungjawab penting untuk rakyat dan kerajaan. Ketua-ketua kampung harus sentiasa peka kepada dasar kerajaan dan menyampaikannya kepada rakyat.
Ketua Kampung mempunyai tanggungjawab besar membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat khususnya di kawasan masing-masing. Sekiranya ada permasalahan yang dilaporkan oleh penduduk kampung, ketua-ketua kampung hendaklah memberi perhatian dan tindakan segera dengan penuh adil. Kesahihan adat yang diguna pakai di peringkat kampung adalah penting dalam pelaksanaan tugas terbabit.
Demikian amanat yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N38 Paginatan Datuk Abidin Madingkir ketika sesi pertemuan khas para pemegang adat di pejabatnya di Kiaburi, baru-baru ini.
Bagi perkara berkaitan pembangunan kampung, Datuk Abidin menasihatkan untuk tidak menyalahgunakan kuasa sebagai ketua kampung menyebarkan isu yang boleh membangkitkan perpecahan. Menyebarkan isu yang didengar atau ketidakpuasan hati diri sendiri terhadap pemimpin atau wakil rakyat kepada orang lain, melalui aplikasi Whatsapp, Facebook dan majlis-majlis rasmi hanya akan memecahbelah dan mengilrukan rakyat.
“Hayati bidang tugas ketua kampung atau pemegang adat, bukan menjadi ketua mengkritik pemimpin dan kerajaan. Memviralkan sebarang ketidakpuasan hati di khalayak umum atau melalui media bukan setakat menjatuhkan imej diri sendiri tetapi seolah-olah melanggar peraturan sebagai pemegang adat. Ini mentaliti lapuk yang hanya menimbulkan kekeliruan yang akhirnya memecahbelahkan rakyat,” katanya.
“Berfikir dan bertindaklah secara profesional. Datang berjumpa dengan pemimpin untuk sama-sama berbincang, memperbetulkan kesilapan dan kelemahan dalam pengurusan. Wakil-wakil rakyat juga manusia biasa yang mempunyai kekurangan dan kelemahan. Kami sentiasa bersikap terbuka menerima teguran-teguran yang dibuat secara berhemah dan bersopan yang bertujuan membina dan memperbetulkan kelemahan,” katanya.
Terdahulu pengerusi majlis yang juga Ketua Anak Negeri (KAN), Dualis Porodtong memaklumkan seramai 33 orang pemegang adat telah hadir pada majlis tersebut. Majlis itu bertujuan menyerahkan pakaian tradisi (pakaian rasmi) kepada pemegang-pemegang adat khususnya bagi mereka yang baharu menerima lantikan.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan aluan ialah Ketua Daerah, Muhasip Hj. Ruman. Antara lain beliau mengingatkan tentang kehadiran dalam sesuatu majlis adalah diwajibkan datang secara ikhlas tanpa menunggu jemputan.