Muhasip ketika menyampaikan amanat tersebut
RANAU: Ketua Daerah, OKK Muhasip Haji Ruman, menggesa semua Pemegang Adat di daerah ini khususnya kawasan N38 Paginatan agar membukukan segera sogit (denda perdamaian) yang telah sekian lama diwarisi untuk menyelesaikan sesuatu kes dalam kampung.
“Dalam menyelesaikan sesuatu kes, walaupun ia dibicarakan di luar kampung berkenaan, sogit atau denda yang terpakai ialah tetap akan merujuk kepada kampung di mana kes itu berlaku. Kita tidak akan menggunakan adat di kampung lain disebabkan setiap kampung mempunyai adat masing-masing,” jelas Muhasip ketika menghadiri Majlis Santai Suai Kenal Staf Mahkamah Anak Negeri dengan Pemegang-Pemegang Adat Mukim Nalapak yang diadakan di Tagal Kampung Nalapak baru-baru ini.
Menurut Muhasip, sogit yang membawa maksud denda mengikut adat istiadat etnik di Sabah khususnya suku kaum Dusun diamalkan sejak dahulu lagi bagi mengekang pelanggaran adat dan mendisiplinkan masyarakat. Ketiadaan sogit sebagai rujukan akan menimbulkan berbagai ketidakadilan apabila menjatuhkan sebarang denda. Tanpa rujukan bertulis, seseorang pemegang adat yang dirujuk sebagai ketua kampung sudah pasti menyukarkannya untuk menjatuhkan denda malah adakalanya keputusan yang dikenakan adalah dengan cara mengikut sesuka hati.
“Dalam prosuder perbicaraan sesuatu kes, apabila ketua kampung tidak dapat menyelesaikan sesuatu kes yang melibatkan penduduk di bawah kawalannya, kes tersebut akan dibawa ke Balai Adat. Jika sekiranya kes tersebut masih juga tidak dapat diselesaikan baharulah akan dirujuk kepada Ketua Anak Negeri dan tindakan terakhir jika masih gagal maka baharulah saman boleh dijalankan,” jelas Muhasip.
Menurutnya lagi, dalam Pelan Tindakan Mahkamah Anak Negeri (MAN), visi MAN adalah untuk memastikan sebelum berakhir perkhidmatan, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada semua pemegang adat di kampung akan dapat membukukan adat masing-masing. Justeru itu untuk mencapai Key Performance Indicator (KPI) atau Petunjuk Prestasi Utama tersebut, langkah pendekatan yang dilakukan oleh pihak MAN ialah merancakkan jelajah ke setiap kampung untuk memberi nasihat dan bimbingan cara membukukan sogit.

Antara yang hadir pada majlis tersebut
“Saya begitu terharu dengan komitmen Ketua-Ketua Anak Negeri (KAN) yang sanggup berkorban tenaga, masa dan wang sendiri untuk menunaikan jemputan masyarakat kampung bagi menjayakan program ini. Kebanyakan jemputan berlaku di hujung minggu yang sepatutnya masa untuk mereka berehat bersama keluarga dan anak-anak. Mereka tidak ada keluhan kepada Ketua Daerah walaupun kadang-kadang kenderaan sendiri yang dipandu mengalami kerosakan dalam perjalanan,” jelas Muhasip.
“Setakat ini gesaan kita untuk membukukan sogit mendapat perhatian dan kerjasama penduduk kampung terutama Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK. Kita amat berharap visi ini terus mendapat sokongan dan kerjasama. Untuk mempermudahkan urusan, pihak kita sentiasa terbuka untuk dihubungi sekurang-kurangnya melalui mesej dalam telefon bimbit jika timbul sebarang kemusykilan berkaitan program ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu Muhasip memuji Program Suai Kenal Staf Mahkamah Anak Negeri (MAN) Dengan Pemegang Adat Mukim Nalapak yang melibatkan 5 buah kampung kerana berjaya mengadakan program santai tersebut.
“Kita ketepikan kepartian. Kita berada dalam satu bumbung yang sama iaitu Gabungan Rakyat Sabah yang dianggotai lima parti iaitu BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah. Kita bersyukur kerana pada hari ini kita dapat bergabung tanpa mengira agama dan fahaman politik. Elakkan perselisihan faham. Kita beri sokongan terus sesiapa sahaja pemimpin GRS yang dicalonkan pada masa akan datang . Kita mahu kerajaan GRS terus memerintah negeri ini sebagai kerajaan yang mantap, kuat dan tidak boleh diperkotakkatikkan oleh orang-orang tertentu” ujar Muhasip.
“Yang paling penting adalah kepercayaan kerajaan kepada pemegang2 adat dan kakitangan UPPM untuk memegang jawatan masing-masing. Teruskan peluang terbaik berkhidmat dan menabur bakti kepada masyarakat sebagai membalas kepercayaan yang diamanahkan oleh kerajaan. Utamakan orang-orang kampung yang perlu didampingi agar kerajaan yang mengamanahkan jawatan tidak kecewa atau tidak tersalah pilih. Saya juga ingin menyeru agar semua kita sentiasa menyokong sekurang-kurangnya dengan menghadirkan diri apa juga majlis yang dianjurkan samada di DUN Paginatan, Kundasang, Karanaan dan Pejabat Parlimen” jelas Muhasip lagi.