Robert (tengah)semasa melawat PPV Klinik Kesihatan Bingkor.
Oleh:Marutin Ansiung
KENINGAU:Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Bingkor adalah satu langkah bijak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan vaksin dengan jarak yang lebih dekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, dengan pembukaan Pusat itu di kawasan Bingkor, ia memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan ini untuk menerima vaksin tersebut.
“Mereka tidak lagi bersusah payah untuk pergi ke Pusat pemberian vaksin yang terletak di Bandar Keningau disamping menjimatkan kos perjalanan” katanya
selepas melawat pembukaan PPV di Klinik Kesihatan Bingkor hari ini.

Robert bertanya sesuatu berkaitan pemberian vaksin kepada Janitah penerima vaksin pertama di PPV Bingkor.
Sehubungan dengan ini Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya mengucapkan terima kasih kepada KKM khususnya Jawatankuasa Program Imunisasi Covid19 Peringkat Daerah Keningau yang membuka Pusat Vaksin yang berpusat di Klinik Kesihatan Pekan Bingkor.
Pada masa sama beliau menggesa kepada penduduk kawasan Bingkor menggunakan peluang dan kemudahan yang disediakan itu agar mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk.
Beliau turut merayu kepada masyarakat yang layak agar dapat mendaftarkan nama untuk menerima Vaksin Covid-19 di Aplikasi MySejahtera atau di laman web www.vaksincovid.gov.my atau hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta yang terdekat. Seterusnya hadir pada masa temu janji yang ditetapkan.
“Jika tidak ada kemudahan untuk mengakses aplikasi mysejehtera boleh berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kampung masing-masing mendaftar secara manual” jelasnya.

Marcus penerima vaksin kedua menerima kad Vaksinasi COVID-19 daripada staf di PPV Bingkor.
Beliau berharap badan JPKK di setiap kampung memainkan peranan yang penting membantu rakyat di kampung masing-masing.
Pada Hari pembukaan PPV Bingkor yang yang bermula hari ini seramai 12 orang telah divaksin yang didahului oleh Puan Janitah Binti Louis dari Kampung Bingkor Lama sebagai penerima vaksin pertama dan Encik Marcus Mudi dari Kampung Bingkor Baru sebagai penerima kedua.
PPV itu beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula pada jam 2 hingga 5 petang, dan akan memberikan vaksin seramai 12 orang sehari untuk minggu pertama, manakala minggu kedua 18 orang dan minggu ketiga seramai 24 orang dan seterusnya akan mengikut keadaan semasa.
Hadir pada pembukaan PPV Bingkor ini ialah Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Bingkor, Dr. Ganesh Kumar dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau, Dr. Vinoth Viknesh A/L Muthusamy.