Datuk Jemas Ratib ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, di DUN pada Selasa.
KOTA KINABALU: Pembinaan Klinik Kesihatan baharu Jenis 3 di Penampang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kos sebanyak RM50 juta, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, pembinaan Klinik Kesihatan tersebut juga telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana.
“Klinik Kesihatan Jenis 3 adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan dan mempunyai lebih banyak perkhidmatan pesakit luar,” kata beliau.
Tambahnya lagi, berkenaan perancangan untuk membina Hospital Penampang pula, ia akan dilaksanakan sekiranya tapak yang sesuai telah dikenalpasti.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian di dalam ucapan penggulungannya semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang keenam belas 22, 23, 24 dan 25 April 2024 yang berlangsung pada hari Selasa.
Perkara tersebut juga dijelaskan bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Adun Moyog, Datuk Darell Leiking.
Tambah beliau lagi, pemasangan Position Emission Tomography (PET) Scan telahpun diluluskan di Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12, dengan kos sebanyak RM30 juta.
Dalam pada itu, James memberitahu bahawa perkhidmatan kesihatan Klinik Desa Tronglit telah dipindahkan ke Klinik Desa Karamunting yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan.
Pembinaan bangunan Klinik Desa baharu Tronglit, katanya, masih belum dilaksanakan memandangkan tapak yang tersedia seluas 0.3 ekar tidak mencukupi untuk pembinaan Klinik Kesihatan.
“Tapak tambahan seluas 0.2 ekar telah dipohon dan dalam proses pewartaan agar keseluruhan tapak minima 0.5 ekar dicapai bagi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 7 Tronglit di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Sebagai makluman tambahan, Klinik Kesihatan Sandakan turut memberikan perkhidmatan Klinik Bergerak ke Tronglit sebanyak sebulan sekali.
“Klinik Bergerak dilaksanakan untuk memberikan perkhidmatan Pesakit Luar dan turut dijalankan di Kepulauan Sekong setelah pemindahan Klinik Desa Tronglit,” katanya ketika menjawab pertanyaan yang diutarakan oleh Adun Sekong, Alias Sani.
Sementara itu, James turut menjawab soalan daripada Adun Telupid, Datuk Jonnybone Kurum dengan memberitahu bahawa setakat ini terdapat 10 orang pesakit buah pinggang di Daerah Telupid yang direkodkan.
“Lima orang pesakit mendapat rawatan di Pusat Dialisis Hospital Duchess of Kent Sandakan, manakala lima orang pesakit lagi mendapat rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) iaitu rawatan yang dilakukan oleh pesakit sendiri di rumah.
“Sebagai makluman, Kementerian saya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersetuju untuk mewujudkan Unit Hemodialisis di Klinik Kesihatan Telupid.
“Pewujudan ini dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memberi kelonggaran kepada Negeri Sabah dan Sarawak atas faktor geografi,” kata beliau.
Berkenaan dengan aduan kakitangan yang tidak mesra kepada masyarakat pula, Jamesw memberitahu bahawa Kementerian beliau melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sedang membuat siasatan bagi mengenalpasti kakitangan yang dimaksudkan bagi mendapat kesahihan aduan yang diterima.
“Kementerian memandang serius perkara ini dan tindakan yang tegas akan diambil,” jelas beliau.