Abidin dan lain-lain semasa Majlis Meletakkan Batu Asas Gereja Baru SIB Nalapak di sini baru-baru ini.
RANAU: Umat Kristian Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di sini diseru agar menggembeling komitmen demi menyiapkan pembinaan bangunan gereja baharu di Kg Nalapak.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata demikian selepas melancarkan Majlis Meletakkan Batu Asas Gereja Baru SIB Nalapak di sini baru-baru ini.
“Syabas dan tahniah kepada kepimpinan Gereja SIB Nalapak kerana mempunyai visi untuk membina bangunan Gereja SIB yang baru.
“Kita akui bahawa membina bangunan Gereja yang baru bukanlah satu perkara yang senang. la memerlukan komitmen masa, tenaga dan kewangan yang tinggi dan mencabar.
“Tetapi dengan ‘iman’ yang kuat berserta kesedaran bahawa tugas yang diamanahkan oleh Tuhan dan harus dilaksanakan, tidak ada yang mustahil untuk disempurnakan,” katanya.
Abidin juga sempat berkongsi pengalaman beliau membina Pusat Pelayanan SIB Likas yang akhirnya dapat disiapkan dengan iman yang kuat.
“Keadaan sekarang sudah berubah. Demikian juga dengan Gereja SIB. Visi Gereja SIB untuk membina seberapa banyak gedung Gereja adalah atas dasar ‘bukan lagi umat mencari Gereja tetapi Gereja mencari umat’,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta setiap tahun kepada semua gereja-gereja di seluruh negeri.
“Fokus Kerajaan adalah untuk melaksanakan pembinaan gereja-gereja baru dan juga penyelenggaraan bangunan-bangunan gereja,” katanya.
Di majlis itu, Abidin telah memberi sumbangan sebanyak RM2,000 sebagai mengaktifkan tabung pembangunan Gereja baru SIB Nalapak.
Sementara itu, Ketua Kawasan SIB Kawasan Muruk Penetua Libin Gakim mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Gereja SIB Nalapak atas inisiatif memulakan pembinaan Gereja SIB baru Nalapak.
“Selaku Pengerusi Kawasan SIB Kawasan Muruk, saya ingin melihat perancangan untuk membina gedung Gereja yang baru haruslah selari dengan visi gereja untuk membina lebih banyak ‘jiwa’sebagai gedung ‘Bait Allah’,” katanya.
Gereja SIB Nalapak adalah gereja lokal yang tertua di kawasan ini dan beliau melihat inisiatif untuk membina Gereja baru adalah manifestasi bahawa SIB Nalapak sudah bangkit secara fisikal dan kerohanian dan mahu melihat SIB Nalapak sekali lagi menjadi pusat pengkhabaran Injil.
Beliau turut menyarankan agar kepemimpinan SIB Kawasan Muruk sentiasa Bersatu padu dan harus bermula dari sekarang memberi mimpi-mimpi baru kepada generasi SIB sebagai pemimpin pelapis SIB masa hadapan.
Turut hadir di majlis itu, Penetua Malakim Gapang, Diakon Juil Karayon, Pengerusi Gereja SIB Nalapak, Juis Konsuling, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, CDO Jipili Sigal, KAN Dualis Porodtong dan lain-lain.