JAHID Turut serta dalam acara membaca ikrar diketuai oleh Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Pantai Dalit, Christie John.
TAMPARULI: Pembentukan dan penyusunan semula Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.13 Pantai Dalit dan PBS Bahagian N.12 Sulaman akan menambah kekuatan GRS Parlimen Tuaran.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata, pembentukan dan penyusunan semula PBS Sulaman dan PBS Pantai Dalit akan memberikan satu kekuatan, lebih tersusun dan teratur bagi memastikan Parlimen Tuaran kembali kepada kesinambungan kepimpinan yang baharu dibentuk iaitu GRS.
“Tentunya penyelarasan-penyelarasan program parti juga akan berjalan lebih baik, dan bakal menyumbang kepada kejayaan calon GRS dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Gabungan PBS Bahagian N.12 Sulaman dan N.13 Pantai Dalit 2021 di Dewan Tertutup, Kelab Tamparuli Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua PBS Bahagian Kadamaian, Demi Rumanti, wakil kepada Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, Aliamis Sami, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Timbalan Ketua PBS Bahagian Tamparuli yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.
Katanya, selain adanya Tamparuli dan Kiulu di tangan GRS, terbentuknya PBS Pantai Dalit dan PBS Sulaman yang disusun semula, PBS akan menjadi lebih kuat di Parlimen Tuaran bagi membantu GRS memenangi kerusi P.170 Tuaran kelak.
“Kita memerlukan Parlimen Tuaran menyebelahi kita, justeru, GRS perlu mengambil dan memenangi semula Parlimen Tuaran agar dapat menyumbangkan satu kerusi kepada GRS yang akan membentuk kerajaan Persekutuan nanti,” tambahnya.
Jahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, AGM Gabungan hari ini juga merupakan satu lagi sejarah penting kepada PBS, kerana menyaksikan penyusunan semula PBS Sulaman dan pembentukan PBS Pantai Dalit, selepas proses persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi negeri Sabah.
“Jumlah kita sama ada kecil atau besar, paling penting adalah kualiti, dan harus diingat, setiap undi itu penting bagi membantu kita mengambil semula hak kita, Parlimen Tuaran, kembali kepada kita,” ujar Jahid.
Justeru, beliau mengharapkan lebih ramai golongan cerdik pandai, dan mereka yang berketrampilan sebagai pemimpin pelapis agar tampil bagi membantu PBS di kedua-dua Bahagian tersebut, untuk memberi nilai tambah kepada parti.
“Kita akan adakan lebih banyak aktiviti untuk meremajakan parti, ini bagi memastikan PBS kembali kepada zaman kegemilangannya, dan oleh kerana itulah kita perlu lebih ramai orang muda untuk menyuntik lebih banyak tenaga positif (dalam politik), barulah kita boleh membawa perubahan kepada parti,” kata Jahid.
Terdahulu, Ketua PBS Bahagian Pantai Dalit, Lizuan Sarabun, mengingatkan kepada ahli di kawasan tersebut agar tidak mudah lemah semangat walaupun masih baharu, sebaliknya tetap kuat.
Beliau turut memuji semangat anak-anak muda di kawasan itu dan berharap keadaan tersebut akan berterusan bagi memastikan PBS terus kuat dan relevan di Pantai Dalit.
Sementara itu, Ketua PBS Bahagian Sulaman, Juin Saman, berkata, PBS Sulaman akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di kawasan tersebut walaupun telah ditinggalkan oleh Ketua Bahagian mereka tidak lama dahulu dan kali ini tampil lebih bersemangat.
Pada majlis itu, Jahid telah mengambil alih dalam proses penyusunan dan pembentukan semula AJK Bahagian, Induk, Pemuda dan Wanita PBS di kedua-dua Bahagian tersebut.