27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PEMBENTANGAN ADAT RESAM, MUHASIP RAKAM PENGHARGAAN KG. LONGUT

Muhasip (duduk 3 dari kanan) bersama sebahagian penduduk selepas sesi pembentangan

RANAU: Ketua Daerah, OKK Muhasip Haji Ruman merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada penduduk Kampung Longut di bawah kepimpinan Ketua Kampung, Balang Apindi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Marlina Jani atas kejayaan menghasil dan membentangkan buku adat resam di balairaya kampung tersebut baru-baru ini.

Ketika menyampaikan ucapan aluannya, Muhasip yang diring Katua Anak Negeri (KAN), Dualis Porodtong dan KAN Kapilin Surop berkata mereka berpuas hati dengan kandungan yang dibentangkan berkaitan adat resam penduduk kampung berkenaan.

“Kita berbangga kerana saranan Mahkamah Anak Negeri (MAN) untuk meminta semua pemegang adat di setiap kampung mengumpul dan membukukan adat resam mendapat maklum balas positif serta kerjasama yang baik. Banyak kampung telah menjemput kami untuk program yang sama,” jelas Muhasip.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja bertujuan untuk memperkasakan adat resam malah memberi peluang kepada generasi muda mengkaji dan mempelajari sendiri adat resam yang menjadi pegangan penduduk kampung mereka seterusnya dijadikan sebagai peringatan dan sumber rujukan berkekalan buat selamanya.

“Jika pada masa dahulu ketika perbicaraan dan menjatuhkan denda, kita biasa mendengar peranan ketua kampung dalam membuat sebarang keputusan. Kebanyakan daripada mereka sebenarnya kurang panduan dalam bentuk bertulis. Mereka sebaliknya banyak bergantung apa yang didengar dari mulut ke mulut dan yang telah diamalkan sejak turun menurun. Pada masa ini kebanyakan mereka sudah tiada. Bagi yang sempat mewarisi adat resam orang-orang terdahulu, mereka sangat beruntung. Tetapi bagi yang sebaliknya, ia sudah tentu menjadi suatu kerugian dan kesukaran dalam membuat sesuatu,” jelas Muhasip.

“Zaman sekarang sangat jauh berubah. Dengan kecanggihan teknologi yang ada, semua maklumat di hujung jari. Justeru itu marilah kita bersama sama mengambil peluang ini untuk merekodkan semua maklumat penting berkaitan adat resam dalam bentuk hard copy dan soft copy agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya lagi.

Muhasip turut menyeru semua penduduk kampung yang lain agar terus berusaha membukukan adat resam masing-masing.

“Kita mahu melihat kesatuan dan permuafakatan penduduk Kampung Longut dijadikan contoh dan semangat semua kampung yang lain agar dapat menghasil dan membukukan adat resam masing-masing demi memartabatkan adat resam kaum Dusun,” ujar Muhasip.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN