27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pembangunan Negeri Perlu Insan Cemerlang, Berkualiti-Shahelmey

SPM-10A… Pelajar SM Stella Maris, Amirah Mohd Nordin (dua dari kiri) menerima sumbangan peranti Notepad dan wang tunai daripada Shahelmey (tengah).

PUTATAN: Sabah memerlukan modal insan cemerlang dan berkualiti bagi memacu agenda pembangunan negeri.


Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, dalam perkembangan dunia digital banyak peluang pekerjaan diwujudkan yang mana ada antaranya dalam sektor ekonomi Gig.


“Perkembangan pekerjaan seperti ini amat baik kerana terbukti boleh menjana pendapatan yang tinggi.


“Namun alasan sebahagian masyarakat yang menyatakan bahawa tidak perlu belajar tinggi-tinggi, masih boleh berjaya dalam perniagaan dan boleh menjana pendapatan yang tinggi itu kurang tepat.


“Ya betul itu adalah kesan usaha gigih peniaga dalam industri tersebut namun bagi negeri dan juga negara, kita memerlukan modal insan yang cemerlang dan berkualiti untuk meneruskan agenda-agenda pembangunan negeri serta negara.


“Selain industri tersebut, negeri kita masih memerlukan ramai guru agama, doktor, jurutera, peguam, akauntan, guru terutama guru pendidikan khas dan pensyarah yang berilmu.


“Andai kata kita tidak mementingkan pembangunan pendidikan yang melahirkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti, bagaimana kita membina kemajuan pembangunan negeri yang ingin kita capai terutama dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.


“Oleh itulah, pada setiap tahun pihak kami (Pejabat Parlimen Putatan) memainkan peranan kecil untuk menyuntik semangat motivasi kepada para pelajar daerah ini yang mencapai keputusan yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar-pelajar Cemerlang SPM 2023 Parlimen Putatan di sini, pada Jumaat.

Pada majlis tersebut seramai 35 pelajar cemerlang SPM 2023 yang mendapat keputusan terbaik 8A, 9A dan 10A 

diraikan dalam satu majlis anjuran Pejabat Parlimen Putatan.

Para penerima terdiri daripada sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, tujuh penerima dari SMK Tansau, 11 penerima dari SMK SANZAC, lima dari Sekolah Menengah (SM) La Salle dan tiga penerima dari SM Stella Maris. 

Shahelmey berharap agar majlis tersebut menjadi suntikan semangat kepada para penerima untuk meneruskan prestasi cemerlang selain menjadi motivasi dan ikutan kepada pelajar-pelajar muda yang lain.

“Ini juga merupakan salah satu usaha terhadap inisiatif pembangunan modal insan Sabah Maju Jaya yang kita terapkan di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Suhaimi Matshah, Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh, Ketua Daerah Putatan Datuk OKK Steven Sondoh, Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Awang Mohd Kadir Awang Kanak dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru Mohd Reduan Datuk Mohd Aklee.- Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN