27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pemantauan diteruskan selepas banjir yang berlaku 4 Januari

JUMAIN ( tengah) semasa meninjau lokasi jalan putus berhampiran Riverside Mart. Turut berada di lokasi, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin (KIRI) , Jurutera Daerah, Alvonnah Farhanah (kanan) dan ADUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.

RANAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Ranau hari ini meneruskan pemantauan di semua lokasi berisiko banjir.

Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jumain Abdul Ghani dalam lawatan ke semua lokasi banjir pada pagi tadi berkata, semua paras air sungai telah kembali ke paras normal.

Walaubagaimanapun katanya, pemantauan masih diteruskan sekiranya cuaca hujan berterusan.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengarahkan agar Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau meneruskan operasi.

“Bilangan mangsa yang dipindahkan setakat jam 5.00 petang ini adalah 48 orang. Jumlah ini meningkat daripada 45 orang yang dicatatkan pada jam 5.50 pagi tadi,” katanya.

Jumain juga memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ranau pada ketika ini sedang dalam pemungutan maklumat kerosakan akibat banjir untuk dikemukakan kepada pihak Ibu Pejabat.

Sementara itu, mangsa-mangsa banjir yang kini masih ditempatkan di PPS menerima agihan makanan.

“Sebanyak 97 buah bakul makanan telah diagihkan kepada semua mangsa yang terkesan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Ranau,” kata beliau.

Jumain turut meminta penduduk untuk bersabar dalam keadaan yang mencabar pada ketika ini dan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana Ranau di talian 088-870519 atau 019-8103962 sekiranya berlaku kecemasan di kawasan masing-masing.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN