30 C
Kota Kinabalu
Isnin, November 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pemancing Sabah catat sejarah  tangkap ikan Black Marlin seberat 230 kg.


Wyner bersama tangkapan ikan Marlin Hitam seberat 230 kg.


LABUAN: Pemancing dari Sabah, Wyner Vilus Boijon@ Rayner mencipta sejarah dalam acara Cabaran Memancing Laut Dalam Antarabangsa Labuan  sempena penganjuran  Labuan International Sea Challenge (LISC) kali ke 37  apabila berjaya menaikkan ikan Marlin Hitam (Black Marlin) seberat 230 kg.
Pencapaian tangkapan ikan Marlin Hitam seberat 230 kg itu adalah tangkapan ikan terbesar  sejak LISC diperkenalkan pada tahun 1997.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib yang turut menyaksikan hasil tangkapan itu menyifatkan sebagai pencapaian baharu dalam Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Labuan.

“Tangkapan bersejarah ini sudah pasti meningkatkan kegemilangan dan kemasyuran Cabaran Memancing Laut Dalam Antarabangsa Labuan sekaligus memartabatkan penganjuran LISC kepada negara luar.

“Ia juga mencerminkan kekayaan sumber marin di perairan  laut dalam Labuan akan menarik lebih ramai pemancing antarabangsa untuk menyertai acara ini pada masa akan datang” katanya.

Sementara itu, pasukan pemancing dari Hong Kong dinobatkan juara berpasukan keseluruhan  dengan mencatatkan hasil tangkapan terkumpul sebanyak 101.7 kg untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM 45,000 berserta peralatan memancing.

Naib johan dimenangi oleh pasukan 360 Anglers dari Malaysia dengan hasil tangkapan terkumpul seberat 76.12 kg menerima hadiah wang tunai RM 15,000 berserta peralatan memancing.

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan CK juga dari Malaysia dengan jumlah tangkapan terkumpul seberat 75.98 kg menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Sementara itu,Wyner Vilus Boiljon @Ryaner menerima  hadiah wang tunai RM3,000 bagi kategori tangkapan Ikan Marlin Khas (Special Marlin).

Cabaran Memancing Laut Dalam Antarabangsa Labuan yang diadakan selama enam hari di kepulauan Spratly Pulau Layang Layang kira kira 160 batu nautika dari Labuan telah disertai seramai 212 pemancing dari Hong Kong, Singapura dan Malaysia.

Majlis penyampaian hadiah bagi acara ini disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan Tuan Sri Anifah Aman sempena Penutupan LISC 2025 di Plaza Berpayung Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Haji Mahmud, Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Hafiz Daud serta para pemimpin masyarakat  dan Ketua Ketua Jabatan Kerajaan yang lain.


2.Sukuran (dua dari kiri) bersama Simsudin (Dua dari kanan), Mohd Hafiz (kiri sekali) dan  Fadzilah  bergambar kenangan bersama tangkapan ikan Marlin Hitam 230 kg yang dipamerkan pada LISC 2025.
 
 
 
 
 


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN