KENANGAN….Ewon bergambar bersama pegawai KEPKASS dan pengusaha eko pelancongan.
KOTA BELUD: Perusahaan pelancongan berasaskan komuniti khususnya di kawasan luar bandar boleh membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi dalam negeri, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu katanya, beliau akan terus membantu membangunkan kawasan pelancongan komuniti khususnya di Kadamaian.
“Industri pelancongan Sabah terjejas teruk berikutan penularan pandemik Covid-19 terutama apabila sempadan negara ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri Sabah sangat prihatin dengan kesan pandemik Covid-19 ke atas sektor ekonomi dengan menyediakan dua pakej bantuan yang telah diumumkan Ketua Menteri (Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal) dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM910 juta.
“Antara pakej tersebut adalah bantuan geran pembangunan destinasi-destinasi pelancongan seluruh Sabah sebanyak RM10 juta. Pengusaha-pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan homestay yang berdaftar adalah layak untuk memohon geran khas ini bagi menaiktaraf kemudahan di kawasan perusahaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi perjumpaan dengan para pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan homestay kawasan Kadamain dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKASS), di Pejabat UPPM Kadamaian, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sejak fasa PKP Pemulihan dilaksanakan, aktiviti pelancongan dalam negeri telah dibenarkan.
“Rakyat Malaysia yang berada di Sabah boleh membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi dalam negeri dengan menyokong perusahaan pelancongan berasaskan komuniti di luar bandar. Saya amat yakin banyak perusahaan seumpama ini menawarkan pakej-pakej yang menarik serta memuaskan,” katanya.
Ewon bersama pegawai KEPKASS melawat eko pelancongan kawasan Kadamaian.
Beliau berkata, selaku Adun Kadamaian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, beliau akan terus membantu membangunkan kawasan perusahaan pelancongan komuniti di Kadamaian.
“Dalam tempoh dua tahun ini, kita telah menaiktaraf jalan-jalan ke pusat pelancongan, kemudahan dewan, platform tinjau, laluan pelancongan, bangunan keusahawanan serta beberapa bantuan lain.
“Bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para pelancong yang berkunjung ke Kadamaian.
“Oleh itu saya menjemput pegawai KEPKASS ke Kadamaian untuk memberikan taklimat berkenaan geran pembangunan destinasi-destinasi pelancongan serta melihat sendiri beberapa perusahaan pelancongan komuniti yang memerlukan perhatian daripada kementerian tersebut.
“Saya berharap sokongan daripada KEPKASS sedikit sebanyak dapat membawa lebih banyak pembangunan infra kecil di Kadamaian,” katanya.
Sementara itu Penolong Setiausaha Unit Pembangunan dan Perancangan KEPKASS Dayang Nurzilah Ag.Kachee berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 50 permohonan geran pembangunan pelancongan dari seluruh Sabah termasuk Kota Belud, Ranau, Tamparuli, Kiulu, Sipitang dan Beaufort.
“Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk geran pembangunan pelancongan iaitu setiap permohonan akan menerima sebanyak RM20,000.
“Oleh itu saya berharap para pengusaha pelancongan khususnya yang berasaskan komuniti luar bandar dapat merebut peluang ini dengan menghantar permohonan secepat mungkin sebelum tarikh tutup permohonan pada 8 Ogos ini,” katanya.
Dalam perjumpaan tersebut, pegawai KEPKASS memberikan taklimat khusus mengenai geran khas pembangunan destinasi-destinasi pelancongan tersebut.
Taklimat disampaikan oleh Dayang Nurzilah. Turut hadir Setiausaha Perhubungan Awam KPLBS Charles Dalansing dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis.
Selepas taklimat itu Ewon bersama pegawai KEPKASS melawat beberapa pusat eko pelancongan kawasan Kadamaian, antaranya Eko Pelancongan Bayayat, Eko Pelancongan Komujo Tambulion, Eko Pelancongan 3V Nahaba dan Eko Pelancongan melangkap Tiong.http://Borneo Daily Bulletin