Gambar: Majus Munsing, (Pegawai Pendidikan Daerah Ranau)
RANAU: Para pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah ini digalakkan untuk menyertai pertandingan hiis dan mangagong sempena menyambut pesta kaamatan Peringkat Daerah Ranau Tahun 2022.
Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing, PPD Ranau menerusi Unit Bakat (Kokurikulum), Sektor Pembangunan Murid akan menganjurkan ‘Piboian Hiis om Mangagong’ peringkat daerah pada 7 Mei ini di perkarangan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Ranau.
Pertandingan hiis terbahagi kepada 2 kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah manakala mangagong 3 kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka kepada guru dan KTBM.
Katanya, program ini merupakan program tahunan bertujuan menyemarakkan lagi suasana sambutan kaamatan pada tahun ini. Di samping memilih kumpulan hiis dan mangagong sebagai wakil daerah ia juga bagi memastikan tradisi dan kebudayaan suku kaum dusun tidak pupus oleh peredaran zaman.
Tema hiis dan mangagong ialah ‘Koubasanan Tinaru Popoburu Sunduan Kadazandusun’. Tajuk dan genre hiis adalah bebas sama ada Tudodoi, Sudawil, Kiaton, Sisindiron, Taala-ala dan sebagainya. Kombinasi muzik tradisional dan moden dibenarkan asalkan tidak menjejaskan keaslian muzik.
Skrip hiis boleh diambil daripada mana-mana buku teks Bahasa Kadazandusun atau sumber yang relevan dan skrip itu mestilah dihantar kepada urusetia sebelum pertandingan melalui link yang akan diberikan kelak.
Jumlah dalam satu kumpulan adalah antara 10 hingga 15 orang termasuk pemain muzik. Sementara tempoh persembahan tidak lebih daripada 7 minit.
Bagi paluan gong ‘mangagong’, jumlah peserta ialah 7 orang. Kumpulan bebas memalukan gong berdasarkan bunyi paluan mana-mana etnik di Sabah.
Peserta adalah diwajibkan untuk mengisi borang kebenaran ibu bapa sebagaimana yang telah disyaratkan oleh pihak urusetia.
Majus turut mengingatkan, di samping pematuhan SOP lain, semua guru pengiring dan peserta yang mengambil bahagian dikehendaki membuat saringan kesihatan awal atau Pre event test dua jam sebelum masuk ke kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
Tarikh tutup penyertaan kadua-dua pertandingan ialah pada 25 April 2022. Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus Jaminus Agang, Unit Bakat (Kokurikulum), Sektor Pembangunan Murid di talian 0 14-703 3227.