KENANGAN…Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para mahasiswa.
KOTA KINABALU: Atas keprihatinan kerajaan negeri, para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini bakal menikmati subsidi RM300 secara one-off.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bantuan tersebut bagi membolehkan golongan pelajar IPT balik ke kampung menjelang musim perayaan atau cuti semester menggunakan perkhidmatan kapal terbang ataupun bas.
“Sebagai contoh, pelajar dari Tawau atau Sandakan tetapi belajar di Kota Kinabalu dan sebaliknya, akan dibantu dalam one-off subsidi ini.
“Sama ada mereka akan menggunakan bantuan itu untuk membeli tiket kapal atau bas.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan saya adalah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan saya adalah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat.
“Sebab itu kita sentiasa mendengar apa yang diminta oleh rakyat termasuk golongan pelajar kita.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan kepada rakyat khususnya pelajar adalah untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu membangunkan negeri ini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS di sini, pada Ahad.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, maklumat terperinci mengenai bantuan subsidi itu termasuk jumlah penerima bantuan kini sedang dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pada bulan Ramadan lalu, bantuan subsidi one-off RM600 telah diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
“Sebelum ini, saya telah umumkan pelaksanaan subsidi kapal terbang yang kita namakan Graduan Rindu Sabah.
“Melalui inisiatif ini, pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan memperolehi bantuan one-off sebanyak RM600 seorang.
“Bantuan ini digunakan oleh pelajar untuk balik ke kampung sempena perayaan atau cuti semester,” ujarnya.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pengerusi Tanjung Aru Eco Development (TAED), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim. – Penerangan-



