32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pejabat Jabatan Pembangunan Wanita Labuan perlu di buka semula- Wanita Umno

Ketua Wanita Umno Bahagian Labuan, Hajah Niswati Tarji

LABUAN: Penutupan pejabat perkhidmatan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Wilayah Persekutuan Labuan sejak Mac lalu merupakan satu kerugian besar kepada golongan wanita di pulau ini.

Ketua Wanita Umno Bahagian Labuan, Hajah Niswati Tarji berkata, usaha JPW Labuan menggalakkan wanita menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan dan keusahawanan termasuk micro-enterprice telah terbantut.

Katanya, program-program latihan seperti I-Kit dan I-KeuNita yang dianjurkan JPW Labuan sebelum ini banyak membantu wanita dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi wanita dan masyarakat.

“Namun penutupan pejabat JPW sejak Mac lalu membuatkan golongan seperti kami tidak lagi dapat menikmati keistimewaan peruntukan latihan daripada kerajaan seperti kemahiran kepada ibu-ibu tunggal dan keusahawanan wanita” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Selain itu katanya, Klinik Nur Sejahtera (KNS) yang dibuka pada 2008 telah banyak memberi kemudahan yang ditawarkan oleh LPPKN di bawah KPWKM.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan KNS LPPKN Labuan ialah penjualan dan pemberian kaunseling khusus yang berkaitan perancang keluarga.

Kaedah perancang keluarga adalah untuk menjarakkan kelahiran demi untuk kesihatan kepada ibu dan kesejahteraan keluarga agar dapat sesebuah keluarga itu merancang kehidupan dari segi kewangan, kemudahan asas kepada ahli keluarga khususnya kepada anak-anak yang telah sedia ada mahupun yang bakal lahir.

Walaupun sebenarnya kaedah ini banyak ditawarkan di premis kerajaan (KKM) dan swasta, tetapi ramai wanita di Labuan lebih senang dan selesa memilih untuk datang ke KNS ini kerana perkhidmatan yang ditawarkan adalah selesa, mudah dan penerangan kaunseling yang memang khusus kepada kaedah perancang keluarga di samping harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada premis lain di Wilayah Persekutuan Labuan.

Perkhidmatan saringan kesihatan reproduktif (khusus untuk wanita) seperti pemeriksaan payu dara (mengesan awal kanser payu dara), pemeriksaan pap smear (mengesan awal kanser pangkal rahim), pemberian subsidi ujian manogram (membantu wanita yang berisiko menghidap kanser untuk mengesan awal kanser payudara) dan suntikan / vaksinasi Human Paploma Virus (HPV) – memberi perlindungan yang optimum kepada wanita daripada mencegah kanser pangkal rahim.

Pemeriksaan HPV DNA – satu ujian yang boleh membantu wanita yang berisiko mengesan kanser pangkal rahim dengan lebih berkesan.

KNS turut menyediakan saringan kesejahteraan kepada wanita dan lelaki serta ceramah kesihatan reproduktif.

Niswati berkata malangnya pada Disember 2017, KNS LPPKN Labuan telah ditutup perkhidmatannya dan kakitangannya dipindahkan bertugas ke Kota Kinabalu, Sabah.

Tambah beliau, dengan penutupan KNS, golongan wanita tidak lagi dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan pihak kerajaan termasuk menerima subsidi ujian mammogram kepada semua wanita warganegara Malaysia yang berumur 35 – 69 tahun. Ujian mamogram adalah satu ujian yang boleh dijalankan kepada wanita yang berrisiko tinggi mendapat kanser payudara.

Kes kanser payudara adalah pembunuh kedua golongan wanita di negara ini.

Kata Niswati, semua perkhidmatan yang ditawarkan KNS LPPKN terpaksa diambil di KNS Kota Kinabalu yang menyebabkan wanita di Labuan terpaksa menyeberang ke Tanah Besar Sabah untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut iaitu di KNS Kota Kinabalu.

“Perjalanan ke Kota Kinabalu mengambil masa yang panjang dan memerlukan kos yang agak banyak termasuk pengangkutan, penginapan dan makan minum serta mereka terpaksa mengambil cuti meninggalkan anak-anak dan keluarga, katanya.

Beliau berkata sejak penutupan KNS Labuan, kakitangan yang bertugas di KNS LPPKN Labuan yang juga anak jati dan permastautin tetap di Labuan terpaksa meninggalkan keluarga berpindah untuk bertugas di Kota Kinabalu.

Meskipun Klinik Bergerak LPPKN yang berkala seperti sebelum ini dilaksanakan LPPKN Sabah ke Labuan, namun perkhidmatan tersebut tidak dibuat secara menyeluruh kerana masa yang agak terhad.

Sehubungan itu, Wanita UMNO Bahagian Lahuan mencadangkan agar bangunan pejabat yang dimiliki oleh JPW di Labuan digunakan untuk dijadikan Klinik Nur Sejahtera daripada ianya dibiarkan kosong tanpa sebarang kegunaan dan manfaat kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan. http://Borneo Daily Bulletin

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN