DSP Simiun Lomudin (Tengah) bersama-sama seluruh warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau dalam Perhimpunan Bulanan pertama Tahun 2023.
RANAU: “Pegawai dan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) daerah ini perlu sentiasa tabah dalam melaksanakan tugas walaupun pelbagai rintangan ditempuhi sepanjang bertugas di lapangan”, tegas Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin kepada kakitangannya.
Katanya, pencapaian cemerlang pegawai dan anggota PDRM Ranau sepanjang tahun 2022 perlu dikekalkan walaupun pada ketika itu mereka berhadapan dengan cabaran menjaga keselamatan dan ketenteraman awam termasuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15.
“Walau apa juga cabaran yang kita tempuhi, jadikan itu sebagai pemangkin semangat untuk terus komited melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Pegawai Polis. Kekalkan tahap disiplin dan sentiasa mempamerkan prestasi tugas yang membanggakan semua pihak”. Jelasnya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan pertama tahun 2023 Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau dekat sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Simiun turut menjelaskan pihaknya akan terus komited memberikan kerjasama kepada tampuk pemerintahan negara ketika ini dan mengangkat dasar kerajaan sedia ada untuk mempastikan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat khususnya di daerah ini sentiasa terjamin.
Katanya, apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Malaysia mengenai gejala rasuah dan kesejahteraan rakyat akan disahut untuk mewujudkan komuniti selamat yang membolehkan masyarakat menikmati kehidupan selesa tanpa berasa takut dengan sebarang ancaman keselamatan.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa walaupun statistik jenayah meningkat pada tahun lepas, tetapi peratusan penyelesaian dan pertuduhan kes pada tahap yang tinggi. Ini memberikan gambaran bahawa PDRM Ranau sentiasa komited untuk memastikan segenap lapisan rakyat di daerah ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.
“Kita masih berusaha untuk menurunkan kadar jenayah di Ranau dengan memperhebatkan kempen-kempen kesedaran jenayah serta program pencegahan jenayah dan operasi yang kerap bagi mempastikan PDRM Ranau mampu mengekang peningkatan jenayah di daerah ini”. Jelasnya.
Dalam masa sama, polis daerah ini juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian bencana alam berikutan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini bersama-sama beberapa agensi keselamatan yang lain.
Jelas Simiun, mangsa-mangsa bencana banjir kilat yang berlaku pada awal bulan ini dapat di uruskan dengan baik menerusi kerjasama PDRM dan agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Turut hadir dalam perhimpunan bulanan tersebut adalah ASP Jailix Amindang, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah, ASP Nurul Hafiz bin Derus, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP Affendy Che Yok, Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Daerah, pegawai-pegawai kanan, anggota pangkat rendah serta kakitangan awam IPD Ranau.