Datuk Jonathan Yasin menerima tabik hormat daripada Pegawai Baris didataran kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.
RANAU: Pegawai dan Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus mengekalkan integriti yang tinggi ketika melaksanakan penugasan sesuai dengan hasrat kerajaan menjadikan agensi kepolisian sebagai benteng utama mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Menegaskan perkara itu, Datuk Jonathan Yasin yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri II Malaysia berkata, usaha pihak PDRM khasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mempastikan keamanan seluruh masyarakat daerah ini perlu sentiasa dikekalkan menerusi penglibatan mereka dalam semua aspek keselamatan.
Beliau memberi contoh penglibatan polis dalam usaha mencari dan menyelamat seorang mangsa banjir di salah sebuah perkampungan dalam daerah Ranau baru-baru ini yang menemui kejayaan ekoran kerjasama erat antara agensi itu dengan penduduk kampung serta badan penyelamat lain.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian PDRM Ranau kerana mereka telah berjaya mempamerkan perkhidmatan yang berkualiti untuk mempastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terus terjamin. Saya juga yakin masyarakat turut membuat penilaian yang sama”. jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar kesiapsiagaan pasukan PDRM dalam menghadapi apa juga bencana alam terus dipertingkatkan.
Katanya, apa yang berlaku di Negeri Selangor baru-baru ini wajar dijadikan teladan dan segala aset logistik keselamatan perlu ditambah baik menerusi permohonan kepada kementeriannya bagi melengkapkan perkakasan tersebut.
“Jika pihak PDRM Ranau memerlukan aset penyelamatan seperti bot atau kenderaan yang sesuai, permohonan perlu dibuat segera kerana kita perlu pandang kehadapan dan sentiasa siap siaga dengan apa juga bencana alam yang bakal menimpa pada masa akan datang”. Tegasnya dalam ucapan bersama Pegawai dan Anggota semasa membuat Lawatan Rasmi Ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau pada Isnin.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau menjelaskan, isu berkaitan penyalahgunaan dadah dan penipuan dalam talian juga perlu diambil tindakan tegas bagi membendung lebih ramai masyarakat menjadi mangsa.
Tegasnya, trend jenayah dadah ketika ini membimbangkan dan pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah yang aktif menjalankan aktiviti mereka termasuk individu yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian yang mensasarkan penduduk kampung sebagai mangsa.
“Kegiatan pengedaran dan ketagihan dadah ini perlu diambil tindakan tegas dengan menangkap pesalah yang giat menjalankan pengedaran dadah. Manakala kegiatan penipuan dalam talian yang menjadikan penduduk kampung sebagai mangsa juga merugikan ramai pihak. Pihak PDRM perlu memperhebatkan hebahan umum mengenai kegiatan itu agar masyarakat sedar jika mendapat penggilan yang meragukan”. Katanya.

Lawatan keatas salah satu struktur bangunan yang rosak di IPD Ranau yang memerlukan pembaikan segera.
Dalam lawatan itu, beliau telah menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan yang dibarisi seramai 31 orang terdiri daripada Pegawai Kanan dan anggota lain-lain pangkat. Beliau turut mengambil kesempatan melawat beberapa kerosakan struktur bangunan IPD Ranau untuk tujuan pembaikan.
Sebanyak RM 20,000 telah disumbangkan bagi mengisi Tabung Kelab Polis PDRM Ranau dan akan mempertimbangkan permohonan pembinaan sebuah pentas diperkarangan dataran kawad IPD Ranau.
Turut hadir dalam majlis itu adalah DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Daerah Ranau, ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah Ranau, Lajim Haji Abdul Momin, Setiausaha Sulit kepada Datuk Jonathan Yasin dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda serta Pegawai Kanan dari IPD Ranau.