25.8 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pegawai bawahan tunjuk komitmen tugas wajar dijadikan contoh: DSP Simiun

DSP Simiun Lomudin menyksikan majlis serah dan terima dokumen tugas antara Sub Inspektor Abdul Manaf bin Mustafa (Kiri) kepada Sarjan Mohd. Faizal bin Akmal (Kanan).

RANAU: Komitmen tugas yang dipamerkan dua orang pegawai bawahan yang bertukar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau ke formasi baru wajar dijadikan contoh oleh semua peringkat dalam PDRM Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, dua pegawainya iaitu Inspektor Murugan A/L Doraiya yang sebelum ini merupakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Sub Inspektor Abdul Manaf bin Mustafa selaku Ketua Polis Balai Ranau adalah pegawai yang penuh dengan komitmen ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Komitmen kedua-dua pegawai ini perlu dijadikan contoh kerana apa sahaja tugasan yang diamanahkan, mereka akan melaksanakannya dengan sempurna sesuai dengan pengalaman yang dimiliki dalam pasukan”. Katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Balai Ranau yang berlangsung di Bilik Mesyuarat IPD Ranau pada Jumaat.

Inspektor Murugan A/L Doraiya menjalani pertukaran ke unit Polis Marin Daerah Semporna manakala Sub Inspektor Abdul Manaf bin Mustafa ke Bahagian Kebajikan Perkep Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. Setakat ini, Sarjan Mohd Faizal bin Akmal memangku jawatan selaku Ketua Polis Balai Ranau.

Sementara itu, dalam ucapan yang disampaikan oleh Inspektor Murugan A/L Doraiya, beliau berterima kasih kepada seluruh barisan pegawai, anggota serta kakitangan awam IPD Ranau yang telah memberikan kerjasama erat sepanjang empat bulan bertugas di IPD tersebut.

Inspektor Murugan A/L Doraiya menerima sijil penghargaan daripada DSP Simiun Lomudin sebagai tanda terima kasih atas perkhidmatannya selama empat bulan di IPD Ranau.

Manakala dalam ucapan Sub Inspektor Abdul Manaf bin Mustafa, beliau menyatakan selama lima tahun empat bulan bertugas di IPD Ranau merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga buat dirinya.

Katanya, Ranau merupakan sebuah daerah pelancongan yang sangat indah dan sudah tentu cabaran selaku Ketua Polis Balai sebelum ini memerlukan beliau menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan profesional.

“Berat juga rasa dihati untuk meninggalkan daerah Ranau. Namun ini merupakan asam garam dalam pasukan polis dimana apabila sampai masanya, seseorang pegawai atau anggota perlu menjalani pertukaran”. Katanya.

Dalam majlis itu DSP Simiun Lomudin turut menyampaikan cenderakenangan berserta sijil penghargaan kepada kedua-dua pegawai yang bakal bertukar sebagai tanda terima kasih diatas jasa bakti mereka di IPD Ranau sebelum ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah ASP Jailix Amindang, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ranau, ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah Ranau, Inspektor Rony Ray Pius, Ketua Bahagian Logistik IPD Ranau serta beberapa Pegawai Kanan dan Anggota lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN