KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuh hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan pasukan itu sebagai tonggak keselamatan negara.Ketua Polis Negara Dato Sri Haji Mohd Khalid Haji Ismail berkata pendekatan keselamatan masyarakat kekal sebagai teras utama atau “core business” PDRM, selari dengan keperluan semasa dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks
Ketua Polis Negara Dato Sri Haji Mohd Khalid Haji Ismail berkata pendekatan keselamatan masyarakat kekal sebagai teras utama atau “core business” PDRM, selari dengan keperluan semasa dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Menurut beliau, tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” yang diperkenalkan sejak 2015 terus relevan kerana mencerminkan hubungan simbiotik antara pasukan keselamatan itu dengan masyarakat dalam memastikan kesejahteraan negara.
“Sejak era penjajahan hingga ke era digitalisasi, warga PDRM telah melalui pelbagai cabaran dalam mengekalkan peranan sebagai penguat kuasa undang-undang utama negara, sekali gus memenuhi tuntutan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan efisien,” katanya dalam perutusan sempena Peringatan Hari Polis ke-219, hari ini.
Beliau berkata kredibiliti dan akauntabiliti kekal menjadi fokus utama masyarakat dalam menilai setiap tindakan pasukan itu, namun menegaskan PDRM tidak akan sesekali bertindak berdasarkan tekanan atau persepsi mana-mana pihak berkepentingan.
“Setiap keputusan dibuat berlandaskan prinsip integriti, undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PDRM menolak sebarang kompromi yang boleh menjejaskan imej pasukan serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata berpaksikan tiga fokus utama Ketua Polis Negara, tujuh hala tuju serta 10 agenda transformasi, seluruh warga “Sang Saka Biru” akan terus memperkukuh tekad untuk meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan kredibiliti pasukan.
“Pendekatan ini merupakan pelan strategik yang konstruktif bagi mendepani landskap keselamatan yang semakin rencam dan mencabar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM termasuk pesara atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan, selain mendoakan kesejahteraan anggota yang terkorban dalam menjalankan tugas.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus mendoakan agar PDRM kekal teguh dan istiqamah dalam memikul amanah, demi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.
“Selamat Menyambut Hari Polis ke-219 Tahun 2026, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.



