PdPR: Terpaksa berjalan kaki naik bukit, panjat pokok mangga untuk dapatkan rangkaian internet

Home Tempatan PdPR: Terpaksa berjalan kaki naik bukit, panjat pokok mangga untuk dapatkan rangkaian internet
PdPR: Terpaksa berjalan kaki naik bukit, panjat pokok mangga untuk dapatkan rangkaian internet

Beginilah keadaan pelajar yang memanjat pokok mangga untuk dapatkan rangkaian internet.

NABAWAN:Dalam saat-saat pelajar-pelajar di bandar menikmati kemudahan rangkaian internet yang lancar semasa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tetapi lain pula halnya bagi pelajar-pelajar di Kampung Silungai dalam Daerah Kecil Pagalungan yang terpaksa berjalan kaki naik bukit lebih kurang 20 minit dari rumah gara-gara mencari lokasi yang mempunyai rangkain internet yang lancar untuk mengikuti PdPR.

Bukan saja  berjalan kaki naik bukit mencari lokasi berkenaan malahan mereka memanjat pokok mangga untuk mendapatkan rangkaian internet yang jelas.

Menurut Ketua Kampung Silungai KK Buntiyu Mandulun, pelajar-pelajar berkenaan terpaksa berbuat demikian kerana itulah pilihan yang terakhir bagi mereka untuk mendapatkan rangkaian internet untuk menjalankan PdPR.

KK Buntiyu…..mohon kerajaan tingkatkan rangkaian komunikasi.

“Jika tidak mereka tidak dapat mengikuti PdPR secara “online” dan ketinggalan mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru mereka” katanya kepada wakil Borneo Daily Bulletin di sini hari ini.

Katanya, pelajar-pelajar yang terbabit di kampung ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)Logongon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)dan SMK Nabawan.

Sehubungan dengan ini Buntiyu memohon kepada kerajaan agar meningkatkan rangakaian komunikasi di kawasan ini kerana ia bukan sahaja untuk para pelajar menjalankan PdPR tetapi juga penduduk keseluruhannya di sekitar Daerah Kecil Pagalungan.