32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PBS catat sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan GBBB

TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan Gerakan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) di dua Cawangan bagi kawasan N.14 Tamparuli, di Kampung Linungkuan dan gabungan Bukit, dekat sini pada Ahad.

Program penubuhan tersebut turut membuka peluang seramai 50 belia dari dua buah Cawangan berkenaan menyertai PBS, sekaligus memperlihatkan sokongan anak-anak muda kepada parti paling lama bertapak di Sabah itu.

Seramai 35 orang belia menghantar borang penyertaan ahli di Linungkuan, manakala Cawangan Bukit, yang menyaksikan gabungan Kampung Tiong Monggis, Monggis dan Kampung Koburan menghantar 15 borang keahlian.

Kehadiran Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, turut menjadi pencetus semangat generasi muda tersebut bersama rombongan kepimpinan parti di peringkat Bahagian N.14 Tamparuli.

Katanya, golongan muda perlu diberi ruang menjadi pemain penting dalam pembangunan, politik serta ekonomi di Malaysia, khususnya di Sabah.

Manakala generasi lama pula perlu memberi kerjasama membantu golongan muda itu bagi mencorakkan masa depan negara.

SERAH BORANG …. Brenda menyampaikan borang keahlian kepada Jahid sambil disaksikan Malianah dan Boe serta seluruh kepimpinan dari Bahagian N.14 Tamparuli.

“Peranan golongan muda dalam memimpin organisasi tidak harus diletakkan dalam kelompok pertubuhan belia semata-mata tetapi di semua organisasi, termasuklah politik,” katanya.

Menurut Jahid, gelanggang politik merupakan platform anak-anak muda bagi menjuarai isu rakyat untuk diketengahkan oleh kerajaan.

“Apabila kita meminggirkan mereka daripada terlibat dalam proses memilih kerajaan secara demokrasi, kita akan kehilangan suara anak muda,” tambahnya.

Jelas Jahid, perkembangan politik yang semakin meluas telah membuka mata parti-parti politik untuk mendekatkan lagi parti dengan golongan muda, dan PBS tampil dengan idea GBBB yang telah dilancarkan hujung tahun lalu oleh Presiden PBS sendiri, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Sementara itu, Pengerusi Bersama GBBB Bahagian N.14 Tamparuli, Boe Sindolun, berkata, ketiadaan dorongan antara faktor yang ‘membunuh’ minat anak muda untuk mendekati dan memahami keperluan sebenar berpolitik.

“Kesannya amat besar, kerana jika belia terus berjauhan dengan politik, kita khuatir dasar masa depan yang dirangka pemerintah ketika ini, tidak mewakili keseluruhan kehendak mereka,”.

Terdahulu, Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS, Datin Malianah Ugau menyifatkan majlis penubuhan berkenaan sebagai satu sejarah yang menjadi permulaan baharu buat parti itu demi memantapkan lagi langkah ‘meremajakan parti’.

“Kita sendiri nampak betapa kesedaran terhadap politik dalam kalangan belia sangat lemah, dan bukti itu jelas dilihat dari segi bagaimana kecenderungan belia mendaftar sebagai pengundi, walhal hakikatnya tidak harus dinafi bahawa pilihan raya, proses terpenting bagi menentukan survival negara untuk tahun mendatang,” katanya.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Ketua Bahagian, Madin Anak, Setiausaha Bahagian, Jilias Lintar, Ahli Jawatankuasa (AJK) Selvis Gambar, dan beberapa pemimpin parti dari Induk, Pemuda dan Wanita Bahagian.

Pengerusi GBBB Bukit, Brenda Osoi, 28 tahun, menyifatkan penyertaan mereka di dalam politik menerusi GBBB adalah kerana ingin memperjuangkan hak-hak mereka sebagai rakyat Sabah.

“Orang muda seperti kami perlu menjadi sebahagian daripada proses yang menentukan polisi-polisi yang membabitkan anak muda terutamanya sosioekonomi belia,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN