27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PBRS HARUS DIBERIKAN KEUTAMAAN DI DUN 44 TULID

Prof Madya Edwin Laimin

KENINGAU : Ketua Pemuda Ecxo PBRS Pusat Prof Madya Edwin Laimin merangkap Timbalan Pengerusi Pemuda BN Malaysia dan Timbalan Pengerusi Pemuda BN Sabah berkata, PBRS merupakan parti yang sesuai untuk diletakkan di kawasan Dewan Undangan Negeri  44 Tulid berdasarkan kepada jasa yang telah dilakukan oleh PBRS di kawasan P182 Pensiangan sejak beberapa dekad lalu. 

Katanya, melalui usaha Ybhg Tan Sri Presiden PBRS sebagai mantan Ahli Parlimen Pensiangan sebelum ini, banyak mengubah landskap pembangunan yang sangat ketara di kawasan ini. 

“Usaha pembangunan yang meliputi pelbagai sudut seperti ekonomi, pendidikan, kemahiran, kesihatan, infrastruktur, jalan raya, telekomunikasi, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi, memberi manfaat kepada seluruh kawasan Pensiangan yang meliputi Dun Nabawan dan Dun Sook sebelum ini.  

Kejayaan PBRS dan Barisan Nasional membangunkan kawasan P182 Pensiangan membuktikan kemampuan parti PBRS untuk terus menerajui kepimpinan di P182 Pensiangan melalui YB Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Justeru katanya, adalah wajar PBRS diberi peluang untuk menerajui Dun baru iaitu Dun Tulid, setelah persempadanan baru dilaksanakan oleh SPR baru-baru ini, berlandaskan kepada pencapaian parti PBRS dan Barisan Nasional di kawasan ini. 

Beliau berkata, semasa memegang jawatan Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup telah menyediakan satu plan pembangunan yang strategik bukan sahaja meliputi pembangunan infrastruktur pelbagai aspek, tetapi juga meliputi rumah-rumah ibadat seperti gereja, surau-surau dan masjid yang kini dinikmati dan digunakan oleh seluruh masyarakat Pensiangan. 

“Kita akan terus mempertahankan pendirian bahawa PBRS merupakan parti yang harus menerajui dan menduduki kawasan DUN 44 berlandaskan fakta dan asas yang sangat kukuh dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak” tegasnya.

Katanya, perkara ini tidak perlu di bawa berbincang memandangkan Parti PBRS hanya mempunyai kawasan P182 Pensiangan sejak sekian lama. 

“Kita mempunyai calon yang boleh menang di kawasan ini dan kita meletak keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perjuangan PBRS selama ini” jelasnya.

Walau bagaimanapun katanya, parti akan merayu kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional agar PBRS diberikan keutamaan untuk bertanding di Dun Tulid berlandaskan kepada pencapaian yang dilakukan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional dan semangat setia kawan selama ini. 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN