Rakan CAPS turut memeriksa tanda harga dan tarikh luput barang makanan dalam tin
RANAU: Pertubuhan Hal Ehwal Dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) memberi amaran kepada semua peniaga di daerah ini agar mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pancatutan 2011 atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Dalam satu tinjauan khas Pertubuhan Hal Ehwal Dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) ke premis-premis perniagaan di sini baru-baru ini mendapati ramai peniaga yang masih kurang kesedaran tentang kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011.
Antara hasil dapatan daripada tinjauan tersebut ialah terdapat peniaga yang masih gagal meletakkan tanda harga barang termasuk harga barang ansuran dan harga pembelian secara tunai yang tidak dipamerkan.
Selain itu ada juga di kalangan peniaga yang masih mempamerkan barang yang telah rosak, barangan terutama perabot yang dijual juga tidak berkualiti dan tidak setimpal dengan nilai harga barang tersebut.

Presiden Pertubuhan Hal Ehwal Dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah ketika dihubungi media Borneo Daily Bulletin berkata menjual barangan melalui skim ansuran tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa menyebabkan pihak pengguna terdedah dengan penipuan kerana peniaga boleh menetapkan keuntungan mengikut sesuka hati mereka.
“Secara amnya, pengguna sering dikenakan bayaran yang berlebihan dalam kes ini dan mereka tidak mempunyai senarai harga untuk dipertikaikan serta untuk berhujah mengenai bayaran pada bil mereka. Menurut Akta itu, penjual bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pembeli mengenai harga,” ujar James.
Dalam pada itu Ketua Perhubungan CAPS Ranau, Merangkap Naib Presiden CAPS Pusat, Wasinin Duari dalam satu temubual bersama beliau bagaimanapun memuji Kedai Pertubuhan Peladang yang menepati harga sebagaimana yang terkandung dalam Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011.
Beliau memaklumkan, tinjauan ke premis perniagaan di sekitar pekan tersebut merupakan lanjutan daripada Program Kesedaran Dan Pendidikan Pengguna Tahun 2022 yang dianjurkan oleh CAPS Cawangan Ranau di Dewan Sitimulah Kampung Bahab baru-baru ini.
Ia bertujuan memberi kesedaran berkaitan kepenggunaan, bahaya penggunaan Polistrine dan Pengurusan Kewangan oleh AKPK kepada pengguna di Ranau khususnya penduduk Kg Bahab, dan penduduk sekitar serta membuat pemantauan harga barang-barang di kedai-kedai terpilih di sekitar pekan Ranau.
Antara penceramah yang mengambil bahagian dalam program itu ialah Presiden CAPS, James Bagah (Pengguna Bijak), AKPK Victor Sabin (Pengurusan Kewangan Bijak), Ketua Perhubungan CAPS Ranau merangkap Naib Presiden CAPS Pusat, Wasinin Duari dan Setiausaha Agung CAPS, Stanly Voo (Bahaya Dan Kesan Penggunaan Polistrine).