SIMBOLIK…Bashir menyerahkan bendera Wilayah Persekutuan tanda simbolik perlepasan pasukan Petanque Labuan ke Lawas.
LABUAN: Sebanyak 19 pasukan Petanque dari Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Pertandingan Petanque Terbuka Ambang Merdeka Lawas Sarawak sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke 65.
Menurut Naib Presiden 1, Persatuan Petanque Wilayah Persekutuan Labuan (PPWPL), Ahmad Qhufry Hazlan, pasukan Labuan (PPWPL) akan diwakili tujuh pasukan, lapan pasukan Bakat Wilayah Persekutuan dan empat pasukan lagi dari Persatuan Petanque Kampung Sungai Bangat.
“Kami meletakkan sasaran kedudukan ke 32 teratas pada pertandingan kali ini yang melibatkan tiga kategori yang disertai selain menjadi medan persiapan pemain Bakat Wilayah Persekutuan yang sudah lama tidak menyertai sebarang pertandingan atau kejohanan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perlepasan Jelajah Merdeka Atlet ‘Budak Pulau’ dan Atlet Petanque Labuan ke Lawas.
Majlis perlepasannya disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias di perkarangan Tapak Memorial Pulau Maida, Dataran Labuan, pada Jumaat.
Pada kesempatan itu Ahmad Qhufry turut menjelaskan, dua pemain petanque Labuan turut menjalani persiapan insentif dengan pasukan SUKMA Wilayah Persekutuan bagi mewakili Wilayah Persekutuan ke SUKMA yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16-24 September ini.



