26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pasukan Kikerz FT dari Kota Marudu muncul juara Pertandingan Bolasepak Sempena Bulan Merdeka

Jonathan (tengah) bersama pasukan yang mendapat kejuaraan dalam pertandingan bolasepak itu


RANAU: Pasukan Kikerz FT dari Kota Marudu muncul juara Pertandingan Bolasepak Sempena Bulan Merdeka yang diadakan di Kg Sinarut Baru Ranau dekat sini baru-baru ini.


Dalam pertandingan itu, naib juara jatuh kepada pasukan Sinarut Team dari Ranau, dan tempat ketiga dikongsi oleh juara bersama Team Airport dan Team Rapak dari Ranau.


Hadir menyampaikan hadiah dalam pertandingan tersebut ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.


Dalam ucapannya, Jonathan mengucapkan syabas kepada kesemua pasukan yang bertanding dan tahniah kepada Kelab Belia Kg Sinarut Baru di atas penganjuran pertandingan bolasepak berkenaan.


Sementara itu, katanya, penganjuran aktiviti sukan seperti ini sudah tentu dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta.


“Penyertaan pemain sepanjang perlawanan diadakan menunjukkan para belia dan masyarakat secara amnya di sini sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.


“Ia juga secara tidak langsung membolehkan peserta menunjukkan bakat dan kebolehan mereka terutama dalam perlawanan bola sepak seperti ini.


“Acara sukan seperti ini juga dapat mencungkil bakat terpendam yang boleh ditonjolkan di peringkat lebih tinggi, justeru memberi peluang kepada mereka yang mahu bergiat lebih aktif dalam acara sukan yang diceburi.


“Acara ini juga sedikit sebanyak mengurangkan, malah dapat mengelakkan masyarakat dari semua peringkat daripada terjerumus dalam kegiatan tidak diingini iaitu gejala sosial,” katanya.


Sementara itu, Jonathan menambah bahawa, bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’, semangat patriotisma dan jati diri yang ditunjukkan oleh para pejuang kemerdekaan perlu terus rakyat warisi dalam aspek kehidupan sehingga kini.


“Dengan berpegang kepada tema sambutan kali ini, marilah sama-sama bertekad untuk memperkukuhkan lagi semangat kemerdekaan dalam setiap rakyat Malaysia, dalam kita membina sebuah negara yang bukan sahaja bebas dari segi fizikal tetapi juga bebas dari segi pemikiran, budaya dan ekonomi.


“Biarlah program ini mengingatkan kita akan pengorbanan dan usaha para pahlawan yang telah berjuang demi kebebasan dan kemakmuran yang sedang kita kecapi hari ini,” katanya.


Jonathan turut menggalakkan semua masarakat di Ranau untuk turut serta dalam mengibarkan Jalur Gemilang, bertepatan dengan seruan Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.


“Ini memberikan peluang kepada semua kita untuk menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada negara, dan ini bukan saja memeriahkan suasana Bulan Kemerdekaan tetapi juga memperkukuhkan ikatasn sbeagai rakyat Malaysia.


“Ingatlah setiap langkah kecil yang telah kita ambil untuk menunjukkan cinta kepada negara, seperti mengibarkan Jalur Gemilang, akan memberikan impak yang besar kerana Malaysia adalah rumah kita, yang perlu kita jaga,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN