Pasukan TABS Bandaraya antara yang sedang membuat persiapan bagi menyertai Piala Borneo.
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Pasukan dari Sabah perlu mengharungi pertandingan kelayakan untuk menyertai Piala Bolasepak Borneo Malaysia (Piala Borneo) 2026.
Pertandingan kelayakan itu dijadualkan berlangsung di sini bulan depan (Ogos 2026) dan ia julung kali diadakan sejak kejohanan tahunan itu diperkenalkan pada 2008.
Lebih 40 pasukan terpilih dari Sabah menyertai kejohanan itu setiap tahun sebelum ini.
Kejohanan itu adalah anjuran Borneo Sports & Adventure Holiday di mana pengarah urusannya ialah bekas Penyerang import Sabah, Scott Ollerenshaw.
Scott berkata, pertandingan kelayakan itu terpaksa diadakan ekoran permintaan terlalu banyak pasukan dari negeri ini menyertai kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada September 2026 berkenaan.
Pertandingan kelayakan akan melibatkan semua kategori umur yang dipertandingkan untuk kategori lelaki pada Piala Borneo iaitu bawah 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16 Dan 18 tahun.
Pertandingan kategori bawah 10 tahun (lahir 2016 dan selepas) akan berlangsung pada 7 dan 9 Ogos, bawah 11 tahun (lahir 2015 dan selepas) 8 dan 9 Ogos, bawah 12 tahun (lahir 2014 dan selepas) 14 dan 16 Ogos, bawah 13 tahun (lahir 2013 dan selepas) 15 dan 16 Ogos, bawah 14 tahun (lahir 2012 dan selepas) 21 dan 23 Ogos, bawah 15 tahun (lahir 2011 dan selepas) 22 dan 23 Ogos, bawah 16 tahun (lahir 2010 dan selepas) 28 dan 30 Ogos manakala bawah 18 tahun (lahir 2008 dan selepas) 29 dan 30 Ogos.
Setiap kategori terhad kepada 16 pasukan pertama yang menghantar penyertaan dan pertandingan akan dijalankan secara kalah mati.
Tiga pasukan teratas dari setiap kategori akan layak ke Piala Borneo manakala pasukan di tempat keempat disenaraikan sebagai pasukan simpanan.
Setiap kategori Piala Borneo pula hanya melibatkan 12 pasukan iaitu sembilan pasukan luar negara dan negeri serta tiga pasukan dari Sabah.
“Had 12 pasukan ini ditetapkan bagi memastikan kejohanan dapat diselesaikan mengikut jadual dan kemudahan yang ada,” kata Scott.
Kejohanan itu sebelum ini biasanya disertai pasukan-pasukan dari Australia, Filipina, Indonesia, Thailand, Hong Kong, Singapura, Brunei dan Malaysia.



