Che Din (enam kanan) bersama barisan pemain pasukan BKM BC Labuan.
LABUAN: Pasukan BKM BC Labuan telah mengadakan dua perlawanan badminton persahabatan di Limbang, Sarawak baru baru ini.
Ketua Pasukan BKM BC Labuan, Che Din Md. Salleh berkata pasukan itu diwakili oleh 9 orang pemain lelaki dan 9 orang pemain wanita.
Katanya, objektif perlawanan itu ialah untuk mengeratkan hubungan sesama Kelab Badminton di luar Wilayah Persekutuan Labuan khususnya di Limbang, Sarawak.
Selain itu, katanya, berjalan-jalan sekitar Limbang terutama pemain yang datang bersama keluarga, antara yang dikunjungi Pasar Tamu Limbang yang menawarkan pelbagai kuih muih tempatan, buah buahan seperti durian, tarap, rambutan dan kembayau.
“Di pasar basah pula menawarkan udang galah yang popular di Limbang dengan harga yang berpatutan,”katanya.
Manakala di sebelah malam pula diadakan Night Street Market yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman seperti nasi campur, nasi katok, cendol dan pelbagai kuih muih dan minuman untuk dinikmati.

Barisan pemain lelaki pasukan BKM BC Labuan bersama Che Din (tiga kiri).
Che Din berkata, BKM BC Labuan telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Fighter BC Limbang yang diadakan di Dewan Badminton St. Edmund Limbang.
Perlawanan persahabatan itu melibatkan kategori beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Sebagai tanda kenangan, Ketua Pasukan BKM BC Labuan, Che Din Md. Salleh dan Ketua Pasukan Fighter BC Limbang, Jeffery Masang bertukar-tukar cenderamata sebelum perlawanan bermula.
Dalam satu lagi perlawanan antara BKM BC Labuan turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan dengan pasukan Persatuan Badminton Bahagian Limbang Sarawak yang diadakan di Dewan Badminton Kampung Patiambun Limbang.
Che Din berkata pasukan BKM BC Labuan akan meneruskan siri perlawanan persahabatan dengan Kelab Badminton di luar Labuan termasuk di Sabah dan Semenanjung pada masa akan datang.
“Selain untuk mengeratkan persahabatan, BKM BC Labuan berharap dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada pemain bertaraf negeri dan kebangsaan yang ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,”katanya yang gembira dengan kunjungan pertama kali ke Limbang itu.