25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pasangan tunang dakwa dipaksa berbogel, lakukan seks

SHAFIEN MAMAT

KOTA BHARU – Seorang wanita bersama tunangannya melalui detik hitam dianiaya dua anggota polis yang didakwa secara melampau memaksa mereka berbogel dan melakukan hubungan seks dalam kereta di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat lalu.

Lebih malang, aksi ghairah itu turut dirakam suspek menggunakan telefon bimbit selain didakwa mengarahkan wanita berusia 20 tahun berkenaan melakukan onani dan memeras ugut tunangnya yang berusia 21 tahun melibatkan wang tunai berjumlah RM1,250.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku pada jam 10.45 malam ketika pasangan yang baharu bertunang tiga bulan dan bekerja sebagai pembantu kedai tersebut berada dalam sebuah kereta jenis Honda Accord di tepi jalan di hadapan sebuah sekolah di Panji dikatakan untuk berehat.

Menurutnya, dua anggota berpangkat lans koperal dan konstabel berusia 35 dan 30 tahun yang menaiki kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic datang menghampiri menyebabkan mereka beredar tetapi ditahan di jambatan Pok Nik Loh, Panchor, Kemumin.

“Seorang anggota mengarahkan tunang wanita itu keluar dari kereta lalu didakwa menumbuk telinga dan dadanya.

“Mereka diberitahu akan dibawa ke pejabat agama dan meminta wang bagi mengelakkan tindakan diambil,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Beliau berkata, tunang wanita itu kemudian dibawa menaiki MPV polis ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran, manakala wanita berkenaan dibawa oleh seorang lagi suspek menggunakan kereta tunangnya.

“Selepas menyerahkan wang RM1,250, mereka dibawa ke lokasi kilang terbiar dan mendakwa dipaksa berbogel serta melakukan hubungan seks dalam kereta dengan aksi tersebut dirakam dengan telefon bimbit suspek.

“Sebelum itu, wanita tersebut juga mendakwa dicabul dan dipaksa melakukan onani di kawasan berhampiran sebuah masjid di Panchor, Kemumin,” katanya.

Shafien berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pada jam 1.21 pagi kelmarin.

Susulan itu, dua anggota yang berasal dari Terengganu dan berstatus berkahwin itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377 C (seks oral), 354 (cabul) dan 384 (pemerasan) selain telefon bimbit mereka dirampas untuk pemeriksaan.

“Seorang daripada suspek mempunyai tiga anak, manakala seorang lagi ada seorang anak. Mereka sudah berkhidmat selama 10 tahun dengan rekod bersih dan ujian urin didapati negatif dadah.

“Mereka ditahan reman seminggu bermula kelmarin sehingga 12 Disember ini untuk melengkapkan siasatan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya sementara kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan,” katanya.

Katanya, polis menjalankan siasatan ke atas dakwaan tersebut dan tidak akan bertolak ansur terhadap anggota polis yang melakukan kegiatan jenayah serta tidak berintegriti.-Sinar Harian

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN